Turkmenistan tidak gerun ngauman pemain ke-12 Harimau Malaya

Turkmenistan tidak gerun ngauman pemain ke-12 Harimau Malaya

PENGENDALI Turkmenistan, Yazguly Hojageldiyev mengakui pasukannya tidak gentar dengan sorakan pemain ke-12 Harimau Malaya menjelang aksi pertama kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Sebaliknya Hojageldiyev itu lebih gerun dengan barisan serangan pasukan kebangsaan yang dilihat bakal memberikan ancaman yang besar buat pasukannya untuk mencipta keputusan positif pada perlawanan tersebut.

“Saya jangkakan aksi menentang Malaysia akan lebih sengit dengan kehadiran penyokong tuan rumah. Bagaimanapun kami tidak gentar dengan sorakan penyokong Malaysia.

“Saya melihat barisan serangan Malaysia mungkin akan memberi ancaman kepada pasukan negara selepas menampilkan aksi yang baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Jadi saya harap pasukan akan berwaspada dengan ancaman barisan serangan pasukan Malaysia,” katanya pada sidang media pra perlawanan menentang Malaysia pada Selasa.

Dalam pada itu, jurulatih Karakum Warriors menegaskan, kelebihan ranking yang dimiliki pasukannya dilihat tidak akan membantu mereka untuk mencipta keputusan positif menentang Malaysia.

Ia selepas Hojageldiyev mengakui masalah kekangan masa gara-gara penularan Covid-19 menjadi punca buat mereka untuk mempersiapkan pasukan yang ampuh bagi saingan kali ini.

Bagaimanapun Hojageldiyev enggan menjadikan ia sebagai satu alasan dan akan cuba menampilkan aksi yang terbaik pada perlawanan pertama menentang Harimau Malaya dalam kempen kelayakan kali ini.

“Di atas kertas mungkin kami dilihat mempunyai kelebihan ke atas Malaysia memandangkan ranking kami lebih baik berbanding mereka.Namun saya tidak rasa ia akan membantu pasukan untuk pada perlawanan pertama ini.

“Ini kerana disebabkan pandemik Covid-19 kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan pasukan. Bagaimanapun saya tidak mahu jadikan ia sebagai satu alasan untuk kami beraksi dengan baik.

“Apa-apapun kami akan cuba memberi aksi yang terbaik dan cuba melakarkan keputusan positif pada aksi pertama menentang Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sesama sendiri dalam mana-mana perlawanan antarabangsa sama ada di peringkat muda atau senior.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Scroll to Top