Turkiye kembali bergolak

Turkiye kembali bergolak
Turkiye kembali bergolak

Pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan polis antirusuhan di Istanbul.

ANKARA – Ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan utama di seluruh Turkiye selepas pesaing utama Presiden Recep Tayyip Erdogan diberkas dan berdepan tuduhan rasuah.

Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, 53, itu bagaimanapun dinamakan secara rasmi sebagai calon Presiden mewakili Parti Rakyat Republik (CHP) pada 2028 menerusi pengundian pada Ahad.

Keputusan itu dibuat selepas kira-kira 15 juta mengundi pada pemilihan simbolik yang dianjurkan parti pembangkang utama tersebut.

Sebagai membantah penahanannya, penyokong beliau nekad mengadakan protes yang disifatkan sebagai demonstrasi terburuk dalam tempoh lebih sedekad setelah pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah ke arah kumpulan berkenaan.

Menerusi platform X pada awal minggu lalu, Imamoglu menegaskan tuduhan tidak berasas yang dikenakan ke atasnya jelas bermotifkan politik.

“Saya tidak akan tunduk. Ia adalah titik hitam buat demokrasi negara kita,” katanya sebelum ditahan dan ditempatkan di Penjara Marmara di Silivri.

Sementara itu, Erdogan mengecam demonstrasi mega tersebut yang diadakan selama lima hari berturut-turut dan menuduh CHP cuba menggugat keamanan dan mempolarisasi rakyat.

Siri protes tersebut telah merebak di kira-kira 55 daripada 81 wilayah di seluruh negara selepas ia pertama kali diadakan di Istanbul.

Imamoglu merupakan salah seorang daripada lebih 100 individu termasuk ahli politik, wartawan dan ahli perniagaan yang ditahan sebagai sebahagian daripada proses siasatan pada Rabu lalu.

Sejak 2019, pemimpin popular tersebut dilihat sebagai satu-satunya ahli politik yang dapat menewaskan Erdogan. – Agensi

Scroll to Top