Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu tunggu dua bulan lagi bagi mengetahui nasib dan peribadinya apabila Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh 25 Jun bagi keputusan rayuan terhadap sabitan bersalah atas empat pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atasnya.
Tunggu dua bulan lagi untuk keputusan rayuan Syed Saddiq
Memetik laporan dari Sinar Harian, tarikh tersebut telah disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selepas pengurusan kes dijalankan secara dalam talian pada Khamis.
Syed Saddiq perlu tunggu dua bulan lagi untuk tahu nasib diri
Difahamkan, mahkamah sebelum ini telah mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan pada 19, 20 Mac serta 17 April lalu.
Susulan daripada itu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan untuk menetapkan keputusan pada tarikh berasingan.
Artikel lain: Ibu Syed Saddiq sebak lihat perjuangan anak, harap golongan muda tak takut bersuara demi kebenaran
Untuk rekod, pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq selepas mendapati beliau bersalah atas semua empat pertuduhan berkaitan dana sayap pemuda Bersatu, Armada.
Pertuduhan tersebut antaranya melibatkan kes pecah amanah membabitkan wang RM1 juta, salah guna dana berjumlah RM120,000 untuk kempen pilihan raya dan dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing RM50,000.
Walau bagaimanapun, Syed Saddiq telah memfailkan rayuan dengan mengemukakan 18 alasan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, dan kini bebas dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan mahkamah lebih tinggi.
Sekiranya rayuan diterima, beliau akan dibebaskan daripada semua pertuduhan serta-merta. Namun, jika gagal, beliau masih boleh membawa kes ini ke peringkat terakhir iaitu Mahkamah Persekutuan.
Dengan tarikh 25 Jun semakin menghampiri, tumpuan kini terarah kepada keputusan yang bakal menentukan masa depan politik bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)