Kuala Lumpur: Tune Protect Group Berhad (Tune Protect) memperluas perniagaan ke peringkat global menerusi kerjasama strategik dengan bolttech Insurance (bolttech), cabang insurans am syarikat teknologi insurans (insurtech) antarabangsa, bolttech di Hong Kong.
Kedua-dua syarikat ini bekerjasama menawarkan Insurans Perjalanan AirAsia untuk pengembara Hong Kong yang mengguna perkhidmatan penerbangan AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata, inisiatif ini selaras dengan komitmen kumpulan untuk menyediakan perlindungan perjalanan yang komprehensif dan berpatutan yang memenuhi keperluan pengembara yang semakin meningkat di pasaran utama.
“Kerjasama strategik dengan bolttech di Hong Kong ini sejajar dengan objektif Tune Protect untuk mengembangkan perniagaan syarikat di pasaran utama di rantau ini.
“Menerusi kerjasama dengan pemain antarabangsa yang mempunyai kepakaran tempatan yang kukuh seperti bolttech, kami berusaha untuk terus berinovasi dan menyediakan penyelesaian insurans perjalanan yang mudah bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Terletak di tengah-tengah Asia, Hong Kong merupakan pintu masuk ke pasaran utama Asia seperti China, Jepun, Korea dan Asia Tenggara, menjadikannya pasaran menarik untuk pengembara.
“Dalam perancangan kami untuk terus berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang, kami juga teruja untuk memanfaatkan kepakaran kami dan capaian pasaran tempatan bolttech untuk memberikan nilai tambah yang tiada tandingannya kepada pelanggan, memastikan pengalaman perjalanan mereka bukan sahaja dilindungi tetapi juga diperkayakan,” katanya.
Menurutnya, dengan rangkaian seluas hampir 50 rakan kongsi insurans di seluruh dunia, Tune Protect berada pada kedudukan yang baik untuk menarik rakan kongsi serantau yang baharu.
“Ini sekali gus akan membina kedudukan kami sebagai rakan kongsi utama insurans digital yang berkemampuan menawarkan teknologi dan penyelesaian insurans semula kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd