Tun M tegas saman pemula Umno tidak menamakannya sebagai defendan

Tun M tegas saman pemula Umno tidak menamakannya sebagai defendan

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan saman pemula yang difailkan Umno tidak menamakannya sebagai defendan tetapi ditujukan kepada Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Saman itu berhubung pengisytiharan sebidang tanah yang berkeluasan 9,723 meter persegi di ibu kota supaya ia kembali dipindah milik kepada Umno.

Dr Mahathir berkata, sebaliknya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat tuduhan bahawa beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah dan ia disambut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Pertama, mereka ini tidak membaca saman pemula yang difailkan oleh Setiausaha Kerja Umno Datuk Mohd Sumali Reduan yang menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan dan bukan saya.

“Kedua, dalam afidavit sokongan kepada saman yang difailkan UMNO, adalah dinyatakan permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Oktober 2015 telah ada surat akuan yang ditandatangani oleh keempat-empat pemegang amanah termasuklah saya,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai beberapa laporan yang mengatakannya enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah sebuah aset pemegang kepunyaan Umno.

Ini susulan tindakan dibuat Umno pada 10 April lalu yang memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan tanah berkenaan dipindah milik kepada parti politik itu.

Saman itu difailkan Mohd Sumali selaku plaintif melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, di Mahkamah Tinggi pada 6 Mac lalu dengan menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kemudiannya pada 28 Disember 2015, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan menyatakan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan kebenaran pindah milik daripada pemegang-pemegang amanah itu kepada Umno.

“Bagaimanapun proses pindah milik itu terbantut pada Mei 2017 kerana terdapat nama dalam geran hartanah tidak sama seperti dalam kad pengenalan.

“Jelas tidak timbul saya tidak mahu lepas harta Umno. Saya telah buat akuan bersetuju pada 2015 lagi.

“Selain itu saman ini terhadap Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan tiada kaitan dengan saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top