Tumit kasut patah pula!

Tumit kasut patah pula!

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Shah Alam: Detik gembira seorang gadis bergelar graduan bertukar insiden lucu selepas tumit kiri kasut dipakai patah ketika mengambil skrol di atas pentas.

Kisah gadis dikenali Yuhaines Batrisyia Ariff, 25, itu mendapat perhatian selepas video ketika insiden berkenaan dimuat naik di TikTok Universiti Teknologi Mara (UiTM) Channel yang sehingga kini meraih lebih 1.8 juta tontonan.

Menurut Yuhaines Batrisyia, insiden itu Selasa lalu iaitu ketika dia menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99 untuk mengambil skrol Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah.

Yuhaines Batrisyia yang menetap di sini berkata, dia tidak sangka ia akan berlaku pada hari pentingnya di atas pentas dan di hadapan khalayak orang ramai.

“Kasut itu bukan baru tapi sudah lama dan lebih setahun tidak dipakai simpan di dalam rak.

“Tapi ia masih boleh digunakan malah sejak dari rumah hingga ke dalam dewan, tak ada masalah (pada kasut) malah ia selesa dipakai dan tak bergoyang pada tumitnya.

“Selepas nama saya dipanggil dan sedang berjalan di atas pentas, saya berasa seperti terpelecok. Ketika itu saya tak sedar tumit kasut tercabut waktu ambil skrol.

“Dalam dua langkah berjalan selepas itu, baru saya sedar tapi tak boleh buat apa kerana perlu turun daripada pentas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Yuhaines Batrisyia, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa berjalan dengan menjinjing kasut selepas itu.

Bagaimanapun, Yuhaines Batrisyia tidak berdepan masalah kerana dapat menukar kasut lain yang dibawa dari rumah sebagai ganti.

“Turun saja daripada pentas, saya terus tukar kasut sebelum hantar WhatsApp kepada keluarga dan rakan untuk maklumkan hal itu.

“Rupanya tiada siapa sedar apa yang berlaku termasuk rakan baik saya yang di belakang malah urusetia majlis pun tahu selepas graduan terakhir mengambil skrol.

“Jadi tak malu pun. Cuma yang buat saya malu apabila video itu tular hingga ramai tahu…bagi saya itu lebih malu daripada insiden patah tumit.

“Saya pun tak tahu video itu tular sehingga ada rakan beritahu di WhatsApp tapi bila baca komen, hampir semua bagi sokongan dan kongsi pengalaman sama,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, apa yang berlaku bukan kali pertama kerana pernah melalui pengalaman sama ketika menghadiri majlis perkahwinan sebelum ini.

“Kiranya, kejadian tempoh hari adalah pengalaman kedua saya namun apa pun terjadi, saya sangat lega dan gembira kerana dapat habiskan pengajian.

“Bukan mudah kerana selama empat tahun pengajian, banyak cabaran antaranya bersengkang mata tak tidur belajar dan siapkan tugasan.

“Perjuangan nak dapatkan ijazah sudah habis dan kini saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan dan Pembangunan Bandar UiTM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top