Pelakon Reen Rahim tampil menjelaskan situasi sebenar mengenai video tular pengakuannya tidak pernah bangun untuk bersahur sewaktu menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan sepanjang 34 tahun hidupnya.
Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh segelintir warganet dengan mengatakan dia tidak pernah bangun sahur.
Sebaliknya, semuanya disediakan oleh ibunya di mana pelakon drama 7 Hari Mencintaku itu hanya bangun untuk makan, solat Subuh seterusnya sambung tidur semula tanpa perlu menyediakan juadah bersahur.
“Otak tak ada ke? Ingat mak bapak aku tu batu ke tak kejut Subuh?
“Maksudnya, aku ni tak pernah bangun awal makan beria-ria, masak sahur lagilah tak pernah. Selalu umi kejut aku untuk minum air kemudiannya terus Subuh dan tidur semula,”ujarnya.
Apa yang membuatkan aktres jelita ini kecewa adalah akaun TikTok miliknya kena ‘banned’ hanya disebabkan video tersebut.
Difahamkan, akaun TikTok miliknya ‘lesap’ disebabkan oleh netizen meninggalkan komen-komen netizen yang tidak bermoral sehingga dirinya terpaksa membuat akaun yang baharu.
“TikTok aku kena baned dah dua minggu. Aku try macam-macam tak dapat, so aku redha jelah.
“Sekali pagi ni aku dapat email. Rupanya TikTok cakap video aku dah dibanjiri komen-komen yang tak bermoral. Dan assume video aku mendorong followers buat perangai buruk,”ujarnya.
Reen berkata, dia tidak pernah berkongsi hantaran berbaur negatif di media sosial. Namun, pada kali ini dirinya terpaksa berbuat demikian selain mengatakan dia akan membuat video penjelasan atau bersiaran secara langsung apabila bara hatinya kembali sejuk.
Terdahulu, portal melaporkan Reen membuat pengakuan tidak pernah bangun menyiapkan juadah sahur, tetapi lain pula pada tahun ini setelah bergelar isteri orang.
Untuk rekod, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Nur Hazim pada 24 Disember tahun lalu yang berlangsung di Boraombak Marina, Putrajaya.
Tonton video dari Youtube:
Sumber: Instagram @reenrahim, Youtube Selebriti Malaysia