Tular rumah seperti kuil, MBS arah pemilik henti ubah suai serta-merta

Tular rumah seperti kuil, MBS arah pemilik henti ubah suai serta-merta

Adat berjiran adalah saling hormat-menghormati sesama manusia, terutama hidup dalam masyarakat majmuk. Namun, tidak semua orang bernasib baik dikurniakan jiran yang memahami seperti yang dialami oleh seorang lelaki, baru-baru ini.

Menerusi beberapa kepingan gambar tular di media sosial, seorang lelaki meluahkan ketidakselesaan apabila jiran sebelah rumahnya membuat pengubahsuaian seperti bentuk kuil.

Difahamkan, rumah berbentuk kuil itu boleh mewujudkan sentimen perkauman yang berlaku di Taman Surian, Mantin Negeri Sembilan.

Apa yang mengecewakan lelaki yang dikenali Halim Hassan itu, lambakan batu-bata terjatuh sehingga memasuki ke kawasan rumahnya, selain tayar kereta miliknya pancit kerana terkena paku yang digunakan.

“Pada 29 Mac lalu, isteri saya terkejut apabila melihat beberapa ketul pecahan batu bata di dalam kawasan porch rumah, kerosakan pada cermin motorsikal juga disebabkan batu bata yang jatuh.

“Bukan itu sahaja, salah satu tayar kereta saya tertusuk dengan paku yang digunakan selain simen dan habuk mengenai kereta saya tetapi dinafikan dan jiran tidak mahu bertanggungjawab,”katanya.

Menurutnya lagi, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sudah tiga kali mengeluarkan notis sepanjang tempoh bermulanya pengubahsuaian iaitu dari tahun 2019, namun diendahkan.

Jelasnya lagi, isu tersebut tidak akan berpanjangan sekiranya pemilik rumah itu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh MBS.

“Dia masih meneruskan pengubahsuaian rumah yang kelihatan seperti kuil itu tanpa mengikut tatacara keselamatan sehingga menyebabkan keretakan pada rumah saya dan masih belum dibaiki sehingga kini.”ujarnya.

Tindakan ini dapat dilihat apabila pemilik kediaman tersebut dipercayai mencabut tali kuning yang dipasang oleh pihak berkuasa dan meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian.

Ekoran tiada tindakan positif, pihak MBS memaklumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik rumah ‘kuil’ itu.

“Kami memang telah berikan notis kepada pemilik untuk merobohkan.

Namun disebabkan tiada tindakan dan pembinaan terus dilakukan, jadi kami bawa ke peringkat seterusnya iaitu bagi tindakan undang-undang,” kata Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali.

Sumber: Kosmo(Zakkina Wati Ahmad Tarmizi) , Facebook Media Variasi