am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengeluarkan perintah reman selama tiga hari terhadap tukang rumah selepas disyaki memukul anak kandung dengan penyangkut baju hingga berbirat hampir seluruh badan, semalam.
Suspek berusia 41 tahun direman bermula hari ini sehingga Ahad bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kejadian berlaku 3 petang semalam.
Berdasarkan laporan, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun bermain basikal namun terlanggar pintu rumah menyebabkan suspek naik angin.
Suspek kemudian mengambil penyangkut baju lalu memukul mangsa hingga berbirat di beberapa anggota badan termasuk tangan, kedua-dua kaki dan pinggang.
Mangsa tidak tahan dengan kesakitan itu lalu melarikan diri ke bilik kakaknya berusia 16 tahun bagi mencari perlindungan.
Terkejut dengan keadaan adiknya yang cedera, remaja perempuan kemudian membuat laporan di Balai Polis Yong Peng jam 9 malam tadi.
Difahamkan, mangsa bersama kakaknya tinggal bersama suspek selepas bercerai dengan ibu mereka yang kini menetap di Johor Bahru.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihak menerima laporan itu.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd