Manjung: Polis menahan tujuh lelaki dipercayai pengedar dadah bersama sejumlah rampasan dadah bernilai RM3,259 dalam serbuan di dua lokasi berasingan di sekitar Pantai Remis, di sini, semalam.
Lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung dan Balai Polis Pantai Remis dalam operasi bermula 1 tengah hari hingga 3 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, enam lelaki ditahan dalam serbuan pertama di rumah di Jalan Pengkalan Baru, Tanjung Ara.
Menurutnya, ketika ditahan lelaki terbabit sedang membungkus dadah untuk pasaran sekitar Pantai Remis sejak dua bulan lalu.
“Pemeriksaan menemui sebuah beg mengandungi tiga paket plastik lutsinar disyaki berisi heroin, tiga tiub straw heroin dan sebungkus plastik yang berisi plastik lutsinar kosong serta sebuah beg yang terdapat dua peket plastik heroin seberat 6.10 gram (g).
“Turut ditemui dua paket plastik disyaki syabu seberat 1.58 g dan sebuah alat penimbang digital di atas meja di hadapan suspek.
“Pemeriksaan lanjut pada seorang suspek yang memakai beg pinggang pula menjumpai satu tiub straw disyaki dadah jenis heroin seberat 0.2 g,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nor Omar berkata, pihaknya menahan seorang lagi lelaki dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Hujung Pasir, Pantai Remis pada 3 petang.
“Polis merampas beg silang yang dipakai lelaki itu dan hasil pemeriksaan lanjut menemui satu tin aluminium yang didalamnya ada tiga paket plastik disyaki heroin dengan anggaran berat 42.93g,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh lelaki itu positif morpin, manakala semakan turut mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Keseluruhan rampasan bernilai RM3,259 dan siasatan awal mendapati mereka menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Pantai Remis.
“Tujuh lelaki itu direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.