Tugas Cklamovski dan Nafuzi sama berat- Jamal Nasir

Tugas Cklamovski dan Nafuzi sama berat- Jamal Nasir

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Kehadiran jurulatih baharu, Peter Cklamovski yang akan membimbing skuad Harimau Malaya diharap dapat mengubah prestasi pasukan kebangsaan menjadi lebih menyerlah di pentas antarabangsa.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pengalaman luas yang dimiliki jurulatih kelahiran Australia itu menjadi kelebihan untuknya membawa perubahan pada pasukan kebangsaan yang masih tercari-cari sentuhan seorang individu bernama jurulatih.

Katanya, difahamkan pengendali berusia 46 tahun itu pernah bekerja lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015, selain membawa Yokohama F Marinos menjuarai Liga J1 (Liga Jepun) pada musim 2019.

“Saya percaya bekas pengurus kelab Jepun FC Tokyo itu mampu mengalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih Cklamovski dianggap kena pada masanya.

“Beliau (Cklamovski) berhadapan tugas berat dalam meletakkan pasukan Harimau Malaya pada kedudukan lebih baik di peringkat Asean dan Asia,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Cklamovski menggantikan ketua jurulatih negara, Pau Marti Vicente dari Sepanyol yang membimbing pasukan negara pada kempen Piala Asean 2024.

Jamal Nasir berkata, keputusan FAM melantik Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 Harimau Malaya dianggap tetap pada masanya, pengalaman luas dimiliki bekas pemain B-23 kebangsaan itu mampu menghasilkan pasukan yang berkualiti pada masa akan datang.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung pada pemain berstatus naturalisasi yang kini semakin ramai dalam pasukan kebangsaan, difahamkan permintaan untuk menjadi pemain naturalisasi semakin bertambah.

“Usaha melahirkan pemain tempatan berbakat tidak perlu dipandang mudah, saya berharap Nafuzi dapat menghasilkan seberapa ramai pemain setaraf Arif Aiman yang memiliki kebolehan luar biasa setiap kali beraksi dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya.

“Saya berharap peminat bolasepak tempatan dapat memberi sokongan pada Nafuzi dalam melahirkan pemain berbakat, pada masa sama turut sama menyokong Cklamovski yang akan memastikan skuad Harimau Malaya menyerlah dipentas antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top