Tugas baharu PU Riz bantu masjid cari dana

Tugas baharu PU Riz bantu masjid cari dana

KUALA LUMPUR – Agak lama menyepi dalam dunia hiburan, pendakwah selebriti, PU Riz kini muncul dengan tanggungjawab membantu sebuah masjid di Kubang Kerian, Kelantan mencari dana operasi.

PU Riz atau nama sebenar Muhammad Haris Mohd Ismail telah dilantik menjadi Duta Wakaf Program Wakaf Masjid Al-Makmuriah bagi membantu program itu untuk membiayai pembelian tanah, pembangunan infrasruktur dan membaik pulih rumah asnaf.

Suami kepada selebriti, Nealofoa itu menerima pelawaan itu kerana masjid persendirian itu tidak dinaungi mana-mana pihak kecuali orang masjid sendiri serta bantuan pun diterima oleh orang ramai.

“Komitmen saya lebih pada membantu pihak masjid mencari dana dan sedekah bagi beberapa tujuan seperti pembelian tanah, pembangunan infrasruktur dan membaik pulih rumah asnaf.

“Selain itu, pihak masjid akan menjalankan beberapa program sepanjang enam bulan ke depan ini dan saya mengharapkan orang ramai terutama pengikut saya di media sosial untuk bersama-sama menyumbang seikhlasnya,” katanya.

Riz (tiga dari kanan) pada majlis menandatangani pelantikan sebagai duta wakaf program wakaf Masjid Al-Makmuriah.

Majlis menandatangani pelantikan itu dibuat di masjid itu baru-baru ini yang turut diadakan program Kuliah Maghrib Perdana Generasi Z Cinta Masjid yang dihadiri lebih 300 penduduk kampung.

PU Riz, 29, menambah, sasaran program itu adalah di kalangan golongan muda yang juga menjadi faktor kenapa dia dipilih menjadi duta wakaf ini oleh pihak masjid.

“Semoga kerjasama kami dapat menggerakkan lagi golongan muda untuk terbabit sama dalam program yang bakal diadakan selepas ini.

“Paling penting juga, semoga segala apa yang dirancang pihak masjid dari segi pembangunan dan membantu golongan asnaf dapat dilaksanakan dan dipermudahkan Allah,” kata bapa kepada dua anak ini. – MalaysiaGazette

Scroll to Top