TUDM hantar 8 tan bekalan makanan bantu mangsa banjir di Sarawak

TUDM hantar 8 tan bekalan makanan bantu mangsa banjir di Sarawak

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Subang: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengatur gerak pesawat C130H dari No 14 Skuadron bagi menghantar lapan tan bekalan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Sarawak.

TUDM berkata, bekalan makanan itu daripada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) membabitkan 2,000 kotak makanan sedia dimakan sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Zakat Tabung Haji dibawah Misi Bantuan Banjir Sarawak.

Menurutnya, penghantaran melalui penerbangan ‘logistic communication’ pesawat C130H dari No 14 Skuadron yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang, di sini pada 1 tengah hari.

“Bekalan makanan itu dihantar ke dua lokasi di Sarawak iaitu Kuching serta Miri dan akan diagihkan kepada mangsa di kawasan terbabit bencana oleh YFBM dan agensi pengurusan bencana negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, misi penghantaran diketuai oleh Mejar Muhammad Syahmin Abd Rahim selaku juruterbang dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin serta enam anak kapal lain.

“Turut sama dalam misi itu adalah Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Maritim (CPOM APMM) Leftenan Kolonel Mohd Amir Alias dan Ketua Pegawai Operasi YFBM, Puteri Fazlieznoor Yahaya bersama dua kakitangan YFBM,” katanya.

Katanya, TUDM akan terus komited dalam mendukung usaha dan kerjasama bersepadu semua pihak dalam membantu menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Misi bantuan penerbangan itu juga sebahagian daripada inisitatif Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang dilaksanakan oleh TUDM dalam membantu negara dan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top