Tuchel latih England bermula 1 Januari 2025

Tuchel latih England bermula 1 Januari 2025

London: Thomas Tuchel dinamakan sebagai pengurus baharu England, hari ini, pada ketika Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris berharap pengendali dari Jerman itu dapat memastikan piala utama pertama sejak 1966.

Bekas pengurus Chelsea, Tuchel akan memikul peranan itu mulai 1 Januari 2025 dengan kontrak 18 bulan termasuk Piala Dunia 2026.

Pengendali berusia 51 tahun itu yang tiada jawatan sejak meninggalkan Bayern Munich pada hujung musim lalu, akan menggantikan Gareth Southgate sebagai jurulatih tetap dan menjadi jurulatih asing ketiga membimbing Three Lions selepas Sven-Goran Eriksson dan Fabio Capello.

Tuchel yang pernah mengendalikan Borussia Dorstmund dan Paris Saint-Germain (PSG) memiliki rekod cemerlang meraih trofi yang diharapkan FA Inggeris untuk menamatkan kemarau trofi selama 58 tahun selepas kali terakhir menang Piala Dunia 1966 di tempat sendiri.

Kemuncak karier pengendali dari Jerman itu tercipta dalam bola sepak Inggeris apabila dia membantu Chelsea memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2021.

“Berpeluang mewakili England adalah keistimewaan amat besar, begitu juga kesempatan bekerja dengan kelompok pemain istimewa serta berbakat membuatkan saya teruja,” Tuchel.

“Saya rasa sangat dihormati dan akan melakukan apa saja untuk layak ke Piala Dunia yang menjadi keutamaan, kemudian cemerlang di Piala Dunia serta cuba mendapatkan bintang kedua pada jersi kami.”

Bagaimanapun, keputusan FA Inggeris itu mengundang kritikan berikutan enggan mempercayai pengendali berbangsa Inggeris menggalas tugas utama, memandangkan mereka memiliki limpahan pemain berbakat termasuk Jude Bellingham yang dijangka menjadi pilihan di Piala Dunia 2026.

Southgate meletak jawatan tidak lama selepas England tewas kepada Sepanyol di final Euro 2024, Julai lalu, sekali gus menamatkan rejim selama lapan tahun membimbing pasukan di pentas antarabangsa.

Tuchel akan dibantu jurulatih berbangsa Inggeris, Anthony Barry, yang bekerja bersamanya di Bayern.

“Kami teruja dapat menandatangani Thomas Tuchel, yang dianggap seorang daripada jurulatih terbaik di dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FA Inggeris, Mark Bullingham.

“Pada asasnya, kami mahu melantik pengurus yang mampu memberikan kami peluang terbaik untuk memenangi kejohanan utama dan kami percaya Thomas serta pasukannya mampu melaksanakan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top