Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyingkirkan Doug Emhoff, suami kepada bekas seterunya, Kamala Harris daripada Lembaga Majlis Holocaust Memorial sekali gus mencetuskan kemarahan.
Emhoff yang berkahwin dengan calon presiden Demokrat 2024 dan bekas naib presiden, berkempen menentang anti-Semitisme sebagai sebahagian daripada pentadbiran Joe Biden yang melantiknya ke dalam lembaga terbabit.
“Biar saya jelaskan, peringatan dan pendidikan mengenai Holocaust tidak sepatutnya dipolitikkan,” kata Emhoff yang berketurunan Yahudi dalam satu hantaran semalam, sambil mengesahkan pemecatan itu.
“Menjadikan salah satu kekejaman paling dahsyat dalam sejarah sebagai isu perpecahan adalah berbahaya dan ia mencemarkan memori enam juta orang Yahudi yang dibunuh oleh Nazi, yang mana muzium ini diwujudkan untuk memperingatinya,” katanya.
Sejak memegang jawatan itu, Trump melangkaui sempadan politik untuk mengenakan jenama populisme sayap kanannya ke atas institusi budaya dan pendidikan seperti Kennedy Center yang berprestij di Washington dan Universiti Harvard.
Beliau juga berusaha membalas dendam terhadap pihak yang dianggap sebagai musuh termasuk menyasarkan firma undang-undang yang dikaitkan dengan lawan politiknya, seperti majikan Emhoff, Willkie Farr & Gallagher.
Beberapa bekas pegawai lain yang turut disingkirkan daripada lembaga Holocaust termasuk Ketua Staf Rumah Putih Joe Biden, Ron Klain, penasihat dasar domestik Susan Rice, dan seorang pembantu kepada bekas Wanita Pertama Jill Biden, menurut laporan The New York Times.
Pejabat Personel Presiden Rumah Putih sudah menghantar emel kepada ahli majlis awal pagi Selasa berhubung perkara itu, menurut laporan Times.
“Bagi pihak Presiden Donald J Trump, saya menulis untuk memaklumkan bahawa jawatan anda sebagai ahli Majlis Holocaust Memorial Amerika Syarikat ditamatkan serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Majlis terbabit ditubuhkan oleh Kongres pada 1980 mewakili negara dalam memperingati Holocaust serta melancarkan Muzium Memorial Holocaust pada 1993.
Emhoff berkata, komitmennya terhadap peringatan dan pendidikan mengenai Holocaust serta dalam memerangi kebencian dan anti-Semitisme tetap tidak berganjak.
“Saya akan terus bersuara, mendidik dan melawan kebencian dalam semua bentuk kerana berdiam diri bukanlah satu pilihan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd