Trump lantik penyokong setia untuk jawatan utama

Trump lantik penyokong setia untuk jawatan utama

Washington: Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat melantik penyokong setianya ke beberapa jawatan utama dalam beberapa hari ini selepas kemenangan pilihan rayanya.

Ia menunjukkan hasratnya melantik beberapa individu tanpa melalui proses pengesahan Senat.

Pemilihan kakitangan ini menjadi subjek spekulasi dan perhatian utama, dengan Trump berjanji pentadbiran keduanya akan menyaksikan perubahan besar dalam kerajaan persekutuan.

Taikun Republikan berusia 78 tahun itu berkata, beliau akan melantik pegawai imigresen yang tegas, Tom Homan sebagai ‘raja sempadan’, sementara media AS melaporkan jawatan Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan diberikan kepada ahli Kongres New York, Elise Stefanik yang juga sekutu Trump.

Stephen Miller, seorang lagi pengkritik keras dan juga individu penting di balik dasar Trump semasa penggal pertamanya berhubung polisi larangan imigrasi penduduk Muslim, dipilih sebagai timbalan ketua turus.

Pemilihan ini menandakan perkembangan dalam beberapa mesej utama kempen Trump, dengan pendirian keras Homan terhadap imigresen menjadikannya sekutu setia dalam melaksanakan janji pengusiran pendatang haram.

Sementara Stefanik yang menyuarakan sokongan kuat terhadap Israel, akan mewakili pentadbiran ketika PBB berdepan dengan peperangan yang berterusan di Gaza dan Lubnan.

Pencalonan Stefanik perlu mendapat kelulusan Senat, namun Trump berharap untuk mengelak Kongres dengan membuat pelantikan semasa dewan Senat tidak bersidang.

Beliau menjadikan isu ini sebagai ujian kesetiaan, dengan menegaskan mana-mana ahli Republikan yang ingin menjadi ketua Senat ‘perlu bersetuju’ dengan pelantikan semasa dewan Senat tidak bersidang.

Trump sebelum ini mengumumkan pengurus kempennya iaitu, Susie Wiles, sebagai Ketua Turus Rumah Putih, satu jawatan yang tidak memerlukan pengesahan Senat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top