Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif pada Khamis yang mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas siasatan ‘tidak berasas’ yang menyasarkan negara itu dan sekutunya, Israel, menurut kenyataan Rumah Putih.
Perintah Trump menyatakan mahkamah di The Hague menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengadakan pertemuan dengan Presiden AS pada Selasa.
Perintah itu juga menyatakan, tribunal berkenaan melakukan “tindakan yang tidak sah dan tidak berasas terhadap Amerika dan sekutu rapat kami, Israel,” merujuk kepada siasatan ICC terhadap dakwaan jenayah perang oleh anggota tentera AS di Afghanistan dan tentera Israel di Gaza.
Presiden AS itu mengarahkan pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap pegawai ICC, kakitangan serta ahli keluarga mereka termasuk sesiapa yang dianggap membantu siasatan mahkamah tersebut.
Sekatan ini adalah tanda sokongan selepas lawatan Netanyahu ke Rumah Putih, ketika Trump mengumumkan rancangan AS mengambil alih Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke negara Timur Tengah yang lain.
AS dan Israel bukan ahli ICC dan setakat ini, tiada reaksi segera daripada ICC.
Pada 21 November, ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu, bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dan Ketua Ketenteraan Hamas, Mohammed Deif – yang menurut Israel sudah meninggal dunia.
Waran itu, yang diluluskan selepas permohonan oleh Pendakwa Raya ICC, Karim Khan pada Mei, dikeluarkan atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan sekurang-kurangnya daripada 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei tahun lalu.
Ketika penggal pertamanya, Trump pernah mengenakan sekatan kewangan dan larangan visa terhadap pendakwa ICC ketika itu, Fatou Bensouda, serta pegawai kanan dan kakitangan lain pada tahun 2020.
Menyifatkan ICC sebagai ‘mahkamah kanggaru’, pentadbiran Trump pada masa itu bertindak selepas Bensouda, yang berasal dari Gambia, melancarkan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang oleh tentera AS di Afghanistan.
Walaupun perintahnya ketika itu tidak menyebut Israel, pegawai pentadbiran Trump berkata, mereka juga marah dengan siasatan yang dibuka oleh Bensouda terhadap situasi di wilayah Palestin pada 2019.
Presiden, Joe Biden menarik balik sekatan itu sebaik sahaja beliau memegang jawatan pada 2021.
Karim kemudiannya menyingkirkan AS daripada siasatan mengenai Afghanistan dan memberi tumpuan kepada Taliban.
Biden mengutuk keras waran tangkap terhadap Netanyahu pada November lalu.
Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang bulan lalu untuk mengenakan sekatan terhadap ICC, namun ia disekat oleh Demokrat di Senat minggu lalu, dengan alasan undang-undang itu boleh memberi kesan buruk kepada sekutu dan syarikat AS.
Bagaimanapun, Demokrat juga menyuarakan kemarahan terhadap sekatan ke atas Netanyahu.
© New Straits Times Press (M) Bhd