Kaherah/Gaza: Penduduk Gaza mengecam rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan menempatkan semula penduduk wilayah itu ke lokasi lain, sambil berikrar tidak akan meninggalkan runtuhan kediaman mereka, di tengah usaha Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu mengubah wilayah pantai itu menjadi ‘Riviera Timur Tengah’.
“Trump boleh pergi ‘jahanam’ (go to hell) bersama ideanya, wangnya dan kepercayaannya. Kami tidak akan ke mana-mana. Kami bukan asetnya,” kata Samir Abu Basel dari Bandar Gaza melalui aplikasi sembang.
“Jika dia mahu menyelesaikan konflik ini, dia sepatutnya mengambil penduduk Israel dan menempatkan mereka di salah satu negeri di Amerika. Mereka yang merupakan orang asing, bukan rakyat Palestin. Kami pemilik tanah ini,” kata bapa lima anak itu yang kehilangan rumahnya berhampiran Jabalia di utara Gaza.
Trump menyatakan visinya untuk membina sebuah pusat peranginan bagi komuniti antarabangsa selepas lebih 15 bulan serangan udara Israel menghancurkan wilayah kecil itu dan mengorbankan lebih 47,000 orang, menurut kiraan pemerintah Palestin.
Penduduk Gaza berkata, selepas perang dan pengeboman gagal mengusir mereka, Trump juga tidak akan berjaya.
“Dia bercakap dengan penuh keangkuhan… dia boleh mencuba kami, dan dia akan segera mengetahui bahawa fantasinya tidak akan menjadi kenyataan,” kata Abu Basel.
Ketika peperangan di Gaza berterusan, rakyat Palestin bimbang mereka akan mengalami satu lagi ‘Nakba’, atau malapetaka, seperti yang berlaku apabila ratusan ribu orang kehilangan rumah mereka dalam perang yang membawa kepada penubuhan negara Israel pada 1948.
Kini mereka bimbang akan satu lagi pusingan pemindahan.
“Kami tidak akan meninggalkan kawasan kami, kami tidak akan membiarkan satu lagi Nakba berlaku. Kami sudah membesarkan anak-anak kami dengan mengajar mereka bahawa mereka tidak boleh meninggalkan rumah mereka dan tidak boleh membenarkan satu lagi Nakba berlaku,” kata Um Tamer Jamal, seorang ibu berusia 65 tahun dengan enam anak, kepada Reuters melalui aplikasi sembang.
“(Trump) gila. Kami tidak meninggalkan Gaza ketika pengeboman dan kebuluran, bagaimana dia mahu mengusir kami? Kami tidak akan ke mana-mana,” katanya dari Bandar Gaza.
Langkah mengejut dari Trump, bekas pemaju hartanah New York, dengan pantas dikecam oleh kuasa antarabangsa serta pemimpin Palestin.
Pihak Berkuasa Palestin yang diketuai Mahmoud Abbas dan kumpulan Hamas bersatu menolak apa yang mereka sifatkan sebagai rancangan untuk merampas wilayah pantai Mediterranean itu dan mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Abbas berkata rakyat Palestin tidak akan melepaskan “tanah, hak, dan tapak suci mereka, Semenanjung Gaza adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari tanah negara Palestin, bersama dengan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.”
Sami Abu Zuhri, pegawai kanan Hamas yang sebelum ini mentadbir Gaza sebelum berperang dengan Israel dalam peperangan yang dahsyat, menyifatkan kenyataan Trump mengenai mengambil alih wilayah itu sebagai tidak masuk akal dan mengarut.
“Apa-apa idea seperti ini mampu mencetuskan ketegangan di rantau ini,” katanya kepada Reuters sambil menegaskan Hamas tetap komited terhadap perjanjian gencatan senjata dengan Israel dan rundingan fasa seterusnya.
Gencatan senjata awal selama enam minggu yang dipersetujui dengan pengantaraan Mesir dan Qatar serta disokong AS,masih bertahan, tetapi prospek penyelesaian jangka panjang kekal tidak jelas.
Di Khan Younis di selatan Gaza, keluarga yang duduk berhampiran runtuhan bangunan yang musnah berkata, mereka menunggu rumah mereka dibina semula, bukan untuk diusir.
Merujuk kepada Presiden Trump, Ahmed Shahin berkata: “Anda membantu Israel sejak awal kemusnahan yang kami saksikan ini. Jadi, anda yang harus membina semula untuk kami di tanah ini. Anda tidak boleh kata kami perlu pergi supaya anda boleh membangunkan Gaza.”
© New Straits Times Press (M) Bhd