Trio gilap panahan sebelum menentang Indonesia

Trio gilap panahan sebelum menentang Indonesia

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tempoh dua hari yang ada bakal digunakan sebaiknya oleh srikandi memanah negara sebelum turun menentang Indonesia pada pusingan pertama acara recurve berpasukan wanita di Sukan Olimpik Paris 2024, Ahad ini.

Semalam, trio yang dibarisi Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Zairi dan Nurul Azreena Fazil menamatkan aksi penentuan ranking di kedudukan ke-10 daripada 12 negara dengan mengumpul 1918 mata di Invalides.

Menurut Syaqiera, 23, yang kali kedua beraksi di Olimpik berkata, mereka akan memanfaatkan tempoh dua hari ini bagi melakukan persiapan lebih rapi untuk berdepan Indonesia.

“Kami pernah bertemu dengan Indonesia sebelum ini. Namun, semuanya nanti bergantung kepada keadaan pada hari pertandingan,” katanya yang muncul pemanah terbaik wanita negara pada aksi penentuan ranking individu semalam apabila berada di kedudukan ke-14 dengan 663 mata.

Ujarnya, mereka mempunyai masa untuk menjalani latihan dan buat persiapan yang lebih spesifik menjelang pertemuan dengan negara jiran itu.

“Sudah tentu kami akan cuba buat yang terbaik dalam acara berpasukan ini. Bagi acara individu pula saya tidak pernah jumpa atlet Moldova sebelum ini, jadi saya akan lawan saja dan terima sebarang keputusan pada hari pertandingan nanti.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Kita pun tidak tahu nanti bagaimana dengan keadaan diri kita pada hari pertandingan, jadi apa yang saya boleh lakukan adalah buat persiapan dan kita tunggu hari pertandingan nanti,” katanya.

Dalam saingan individu, Syaqierah yang layak kali pertama di Olimpik Tokyo, tiga tahun lalu akan berdepan pemanah Alexandra Mirca pada pusingan pertama Selasa ini.

Ariana pula yang menamatkan saingan penentuan ranking individu di kedudukan ke-50 dengan 633 mata akan bertemu pemanah Itali, Chiara Rebagliati, manakala Nurul Azreena akan menentang Elif Berra Gokkır dari Turkiye selepas menduduki tempat ke-60 dengan 622 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd