Gabungan vokal barisan penyanyi hebat, Datuk Hattan, Hazama dan Black Hanifah mengimbau momen-momen nostalgia sepanjang kira-kira tiga jam Konsert Hitam Manis berlangsung di Plenary Hall, KLCC pada Sabtu lalu.
Hazama membuka pentas gah dan berprestij itu dengan menyampaikan beberapa lagu solo popularnya seperti Di Amaran Mama, Sampai Mati, Cinta Teragung, Relakan Jiwa, Penglipur Lara, serta menyanyikan lagu ‘cover’ dipopularkan oleh Datuk Shake, berjudul Umi yang didedikasikan khas untuk ibu tercinta yang turut hadir ke konsert itu.
“Ada cerita yang sangat peribadi tentang disebalik lagu Umi ini. Pada tahun 1984, ada seorang ibu pernah berhasrat kepada anak dia untuk jadi macam penyanyi itu dan pada tahun 2025, anak yang dia hasrat itu menyanyi di pentas Plenary Hall ini,” ujarnya.
Konsert Hitam Manis diteruskan oleh Black menerusi segmen solo yang mengakui dia sudah menantikan momen tersebut (buat konsert) selama lima tahun.
Pada malam tersebut, Black menyampaikan lagu-lagu hits kegemaran ramai iaitu Sofea Jane, Mana Mungkin, Takkan Terpisah, Aku Rindu Sayang Kamu serta lagu Merisik Khabar milik Allahyarham Datuk Sudirman.
“Ini adalah malam yang saya nantikan hampir lima tahun, dua tahun lalu saya tak boleh menyanyi tetapi kali ini Black is back. Andai anda pernah undi saya dalam Mentor sebelum ini, terima kasih. Hanya persembahan seperti ini mampu saya balas,” katanya.
Selepas hampir dua jam dihiburkan oleh Hazama dan Black, kemunculan Hattan membuat seluruh Plenary Hall bergema yang membawa lagu-lagu malar segar iaitu Rendang Tak Berbuah, Gerhana, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanna dan Memburu Rindu.
Lebih menyentuh hati, Datuk Hattan menyelit segment ‘tribute’ khas atas pemergian sahabat, Allahyarham Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus yang dianggap sebagai mutiara.
“Pada 4 Ogos tahun lalu, kita kehilangan seniman dan pemuzik hebat, Allahyarham Jay Jay. Kebanyakan lagu dalam album saya dimainkan oleh dia. Industri kehilangan satu mutiara dalam yang sangat merendah diri.
“Saya bersyukur dapat mandikan jenazah allahyarham,” katanya menahan sebelum menyanyikan lagu berjudul Rindu Bayangan bersama Hazama dan Black,” katanya.
Tiga penyanyi hebat itu menggegarkan pentas dengan persembahan bertenaga, memadukan suara mereka dalam lagu-lagu ikonik seperti Duit, Rindu Bertandang Lagi, Drama King, dan Dari Kekasih Untuk Kekasih. Kemuncak konsert menyaksikan mereka menutup tirai dengan penuh bergaya menerusi Hitam Manis, yang diberikan sentuhan moden oleh Adam E., anak kepada Hattan.