Treler Thailand ditahan, ubah suai tangki seludup diesel

Treler Thailand ditahan, ubah suai tangki seludup diesel

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebuah treler bernombor pendaftaran Thailand ditahan kerana disyaki mengubah suai tangki bagi menyeludup diesel secara haram ke negara berkenaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, hari ini.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), dalam kenyataan, berkata kenderaan itu ditahan sepasukan anggota AKPS ICQS Bukit Kayu Hitam ketika melakukan pemeriksaan kenderaan pada jam 8 pagi.

Menurutnya, kenderaan berkenaan ditahan di laluan pemeriksaan kenderaan berat selepas melepasi pemeriksaan pihak Imigresen dan Kastam ketika menghala keluar dari Malaysia ke Thailand.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, treler 40 tan berkenaan disyaki sudah diubah suai dan digunakan bagi tujuan penyeludupan diesel secara haram ke Thailand.

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 2,000 liter diesel yang disembunyikan di dalam tangki khas yang telah diubah suai pada bahagian bawah badan treler,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa kenderaan bersama pemandunya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

“Kenderaan berkenaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Nilai rampasan termasuk diesel dan kenderaan dianggarkan RM357,000,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top