Transpoter ditahan, dadah RM4 juta dirampas

Transpoter ditahan, dadah RM4 juta dirampas

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang lelaki dipercayai transporter gagal menyerahkan dadah bernilai lebih RM4 juta kepada transporter lain apabila dia ditahan polis di tepi jalan di sebuah pusat perniagaan di Sungai Petani, Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dadah jenis syabu seberat 51 kilogram (kg) dan pil ekstasi seberat 14.9 kg itu dipercayai untuk dihantar ke pasaran luar negara.

Beliau berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan jam 7 pagi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.

“Pemeriksaan pada badan suspek menemukan kunci yang membawa kepada penemuan sejumlah dadah di dalam but kereta Honda Civic RS.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta yang diletakkan di tempat parkir kenderaan itu berjaya menemui dadah disyaki syabu dan pil ekastasi dalam empat beg kanvas besar.

“Rampasan dadah syabu itu boleh digunakan untuk 255,000 orang penagih dadah manakala bagi pil ekstasi pula boleh digunakan oleh 28,000 orang penagih,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Fisol berkata, semakan mendapati, suspek yang berasal dari Johor itu mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Modus operandi adalah suspek yang membawa adah itu akan diserahkan kepada orang lain namun ia masih dalam siasatan.

“Suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top