am@hmetro.com.my
Penampang: Polis menahan seorang lelaki disyaki sebagai ‘transporter’ penghantar dan merampas dadah jenis syabu seberat 1,014.99 gram dalam operasi di kawasan perumahan Beverly Hills, Jalan Bundusan, di sini, Ahad lalu.
Suspek berusia 22 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kira-kira jam 8 malam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, ketika operasi dijalankan, suspek ditahan dan pemeriksaan tubuh badannya dilakukan.
“Hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan beg plastik hitam yang dipegang di tangan kanannya. Pemeriksaan ke atas beg plastik itu menemui paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 2025, di IPD Penampang di sini, hari ini.
Sammy berkata, dadah yang dirampas mempunyai berat kasar 1,014 gram dengan anggaran nilai pasaran RM30,000.
“Siasatan mendapati suspek disyaki berperanan sebagai transporter dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Hasil siasatan juga mendapati, dadah ini dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini, Papar, Penampang dan Kota Kinabalu serta berpotensi membekalkan kira-kira 5,000 penagih dadah,” katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd