am@hmetro.com.my
Melaka: Polis sudah merakam keterangan pemandu lori yang terbabit dalam nahas yang mengorbankan tujuh individu termasuk lima sekeluarga, di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran R&R Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, keterangan pemandu berusia 31 tahun itu diambil di Balai Polis Trafik Alor Gajah pada malam kejadian bagi membantu siasatan.
“Dipercayai kemungkinan ada kecuaian yang mengakibatkan tayar hadapan lori terbabit tercabut di atas lebuh raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini..
Beliau berkata, polis juga berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan yang kebetulan di lokasi kejadian seperti yang tular di media sosial.
“Polis meminta kerjasama pemilik dashcam terbabit untuk tampil bagi membantu siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Serentak itu, mereka yang mempunyai sebarang maklumat juga boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5564153,” katanya.
Katanya, semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu membabitkan treler, Toyota Estima dan bas persiaran sudah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd