am@hmetro.com.my
Melaka: Dua anak kepada pasangan suami isteri yang terkorban dalam nahas meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin, terpaksa menjalani pembedahan.
Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, sudah selamat menjalani pembedahan pagi tadi, manakala abangnya, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan proses pembedahan dijangka dilakukan petang ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, ketika ini kedua-dua anak kepada Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32 itu berada dalam keadaan stabil.
“Muhammad Uwais mengalami kecederaan parah di paha kanan yang mana tulang pahanya pecah, tetapi apa pun pembedahan terhadap kanak-kanak lelaki itu akan dibuat hari ini juga,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa yang cedera di Hospital Melaka, hari ini.
Hee Sem turut dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa bahawa kedua-dua beradik itu belum mengetahui mengenai kematian ibu bapa mereka termasuk nenek dan datuk.
Dalam pada itu, Hee Sem berkata, semua penumpang bas warga Singapura yang cedera dan dirawat di Hospital Melaka serta sebuah hospital swasta sudah dibenarkan keluar.
“Selain itu, pemandu lori treler berusia 27 tahun yang kini berada dalam keadaan kritikal masih ditempatkan di ICU dan dipantau pegawai perubatan.
“Bagaimanapun prosedur pembedahan ke atasnya hanya akan dilakukan bergantung kepada keadaan kesihatannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd