Tragedi Putra Heights: 24 mangsa layak terima bantuan Perkeso

Tragedi Putra Heights: 24 mangsa layak terima bantuan Perkeso

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 24 mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya layak memohon bantuan peralatan pemulihan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, saringan terhadap kumpulan pertama mangsa tragedi pada hari kedua Syawal itu dibuat dalam kalangan mereka yang dimasukkan ke hospital dan klinik swasta di sekitar Lembah Klang.

Katanya, semakan lanjut akan diteruskan meliputi 88 mangsa yang dikenal pasti sedang menerima rawatan di hospital kerajaan di Kuala Lumpur, Serdang, Selayang, Shah Alam dan Klang.

“Difahamkan terdapat 134 mangsa terbabit dalam tragedi itu, dan Perkeso membuat semakan awal merangkumi 46 orang, manakala selebihnya kita sedang menunggu maklumat rasmi dari hospital kerajaan.

“Daripada semakan awal, 24 mangsa layak memohon peralatan pemulihan seperti yang termaktub menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Manisnya Syawal di Menara Perkeso di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Sri Subahan Kamal serta tetamu kehormat daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Beliau berkata, sekiranya mereka memerlukan peralatan berkenaan, mereka boleh terus memohon dan Perkeso sedia membantu mendapatkan sokongan dan rawatan pemulihan yang bersesuaian.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, Perkeso sedia membantu proses tuntutan semua pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang terbencana semasa menjalankan pekerjaan dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang tercedera dalam insiden berkenaan.

Katanya, Perkeso cakna terhadap nasib menimpa mangsa tragedi, dengan Skuad Perkeso Prihatin Selangor dan Kuala Lumpur sentiasa berada di lokasi pada hari kejadian dan melawat mangsa di hospital untuk mendapatkan perkembangan terkini.

“Kita juga bersedia membantu semua mangsa menerusi Program Sinergi Sosial dengan menyalurkan maklumat kepada agensi lain supaya mereka mendapat bantuan bersesuaian.

“Perkeso bersimpati dengan nasib dialami mangsa tragedi dan didoakan agar mereka terus tabah menghadapi dugaan berat ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top