Kerajaan Selangor bersama Kerajaan Persekutuan dan Petronas sedang mencari penyelesaian terbaik bagi membantu penduduk yang terkesan akibat letupan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya semalam.
Menurut laporanĀ Harian Metro, proses baik pulih rumah-rumah yang terbakar akan mengambil masa yang panjang dan perkara ini dikatakan sendiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
180 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan

Sebagai langkah segera, 180 penduduk dari Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru telah didaftarkan dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Amirudin menggesa mangsa lain segera mendaftar di Unit Pengurusan Bencana Negeri bagi membolehkan mereka menerima bantuan yang sewajarnya.
Kerosakan besar, 78 rumah dan 327 kenderaan terbakar

Laporan awal Pusat Kawalan Tempat Kejadian mendapati sebanyak 78 rumah mengalami kebakaran teruk dan belum selamat untuk diduduki, 10 rumah kedai musnah sepenuhnya dan 327 kenderaan turut musnah dalam kebakaran.
Amirudin menegaskan bahawa siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan dan kebocoran saluran gas yang menyebabkan kerosakan besar ini.
Orang ramai diminta salurkan maklumat

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang bukti atau maklumat mengenai kejadian ini untuk menyalurkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
Saya mendoakan semua mangsa, terutama mereka yang sedang menerima rawatan di hospital, agar segera pulih. Kepentingan penduduk akan menjadi keutamaan dalam menyelesaikan isu ini.
#ApaKataOhmedia
Tragedi ini mengingatkan kita tentang pentingnya keselamatan dalam kawasan perumahan yang berdekatan dengan infrastruktur industri. Jika anda melihat tanda-tanda kebocoran gas atau situasi mencurigakan, segera laporkan kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku!
