am@hmetro.com.my
Kampar: Tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas selepas bot rafting yang dinaiki untuk menyusuri Sungai Jahang, dekat Gopeng, terbalik akibat kejadian kepala air, hari ini.
Mangsa adalah Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah, Suhaili Mat Saad, 47; Penolong Jurutera Kanan JKR Daerah Langkawi, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37 dan Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 5.50 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, seramai 21 peserta, lima jurupandu dan seorang jurufoto menaiki empat bot ‘water rafting’ berlepas dari sebuah resort melalui Sungai Jahang jam 3.30 petang.
“Keadaan sungai semasa mereka mula melakukan aktiviti masih sesuai untuk ‘water rafting’.
“Bagaimanapun, semasa 500 meter dari tempat pelepasan, berlaku hujan berterusan menyebabkan paras air sungai naik mendadak lalu mengakibatkan bot terakhir yang dinaiki tujuh individu terbalik.
“Mangsa hanyut 800 meter dari tempat bot terbalik sebelum tiga mangsa itu disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Menurutnya, proses pengecaman mayat dilakukan oleh kawan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.
Mohamad Nazri berkata, semua peserta yang terdiri daripada tujuh kakitangan JKR Langkawi dan 14 kakitangan dari JKR Seberang Perai Tengah menginap di sebuah resort berdekatan sungai terbabit untuk program ‘team building’.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon ketika dihubungi mengesahkan semua peserta termasuk mangsa memakai jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti ‘water rafting’.
Tragedi berakit: Tiga mangsa lemas adalah kakitangan JKR
Tiga lemas ketika ‘water rafting’ di Sungai Jahang
© New Straits Times Press (M) Bhd