Tradisi baraan ketika Aidilfitri hidup semula

Tradisi baraan ketika Aidilfitri hidup semula

KUALA LANGAT: Hari Raya Aidilfitri ketika negara memasuki fasa endemik benar-benar memberi makna kepada penduduk Kampung Tali Air, Morib di sini apabila tradisi kunjung-mengunjung secara beramai-ramai iaitu baraan kembali dihidupkan.

Ini kerana selama dua tahun program berkenaan tidak dapat diadakan selepas larangan aktiviti kunjung mengunjung yang menjadi sebahagian daripada sekatan pergerakan dikuatkuasakan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ahli kariah surau kampung berkenaan, Najib Aziz, 60, berkata, dia bersyukur apabila suasana hari raya di kampungnya kembali meriah apabila penduduk kampung dapat meraikan lebaran bersama-sama.

Malah, menurutnya, ada perantau yang pulang ke kampung menyertai aktiviti baraan itu.

“Di situlah mereka dan jiran-jiran dan sanak-saudara bertemu kerana aktiviti baraan menjadi tradisi  beberapa generasi penduduk di kampung ini yang kebanyakannya berketurunan Jawa.

“Kita berkumpul beramai-ramai kemudian bertakbir dari rumah ke rumah. Tradisi baraan perlu diteruskan bagi mendidik generasi muda budaya kunjung-mengunjung di Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, penduduk, Hasbullah Aripin, 40, berkata, tradisi baraan memberi peluang untuk dia tiga beradik yang merupakan perantau mengunjungi saudara-mara yang tinggal di sana.

“Dua tahun kita beraya dalam suasana pandemik hinggakan kakak yang tinggal di Muar Johor dan di daerah lain tidak  pulang beraya. Syukur tradisi baraan dapat kami sertai.

“Tahun ini, sambutan 80 peratus normal tetapi masih tidak bersalam dan memakai pelitup muka jika duduk berhampiran,” ujarnya.- UTUSAN

Scroll to Top