'Tolong bang, dah masuk 4 bulan kami tak dapat gaji'

'Tolong bang, dah masuk 4 bulan kami tak dapat gaji'

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dah masuk empat bulan gaji tak dapat. Tolonglah kami abang”.

Itu rintihan seorang pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) kepada Arena Metro apabila mendedahkan berlakunya tunggakan gaji yang sudah memasuki empat bulan.

Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan, bukan sahaja gaji tidak dibayar sejak September lalu, malah potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar langsung oleh pengurusan pasukan.

Katanya, bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak dicarum serta insurans pemain turut diabaikan.

“Dari September, Oktober, November dan sudah masuk Disember pun masih tak dapat gaji lagi.

“KWSP tidak bayar langsung, Perkeso tidak bayar langsung, insurans pemain tiada,” kata sumber itu.

Ketika ini, KDN FC menghuni tangga ke-12 Liga Super selepas mengharungi 15 aksi liga dengan mengumpul tujuh mata.

Kedudukan di dasar liga itu perlu diperbaiki segera ketika baki saingan Liga Super hanya tinggal lapan perlawanan sahaja.

Selain kempen liga, KDN FC yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Park Jae-hong turut bersaing dalam Piala Cabaran apabila aksi suku akhir pertama menyaksikan mereka tewas 1-5 kepada Selangor FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top