sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mahu pasukan utamanya meneruskan momentum terbaik apabila berdepan Sabah FC pada aksi separuh akhir Piala Malaysia, 18 Januari dan 2 Februari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kejayaan mara ke separuh akhir diharap menyuntik semangat buat pasukan.
“Bagi saya, semua pemain perlu meneruskan momentum dan persembahan terbaik dalam usaha menafikan Sabah yang pasti turut sama mahu beraksi di pentas akhir piala berprestij itu musim 2024/2025.
“Namun, tidak dinafikan bahawa Sabah adalah sebuah pasukan yang perlu dihormati tetapi pada masa sama, Sri Pahang perlu tampil dan menjelmakan disiplin permainan terbaik dan berusaha mencipta kejayaan.
“Perkara utama yang perlu dilakukan ialah mengelak daripada mengalami kecederaan dan lebih mengamalkan gaya permainan serta disiplin tinggi seperti yang diarahkan ketua jurulatih (Fandi Ahmad),” katanya.
Dalam pada itu, Mohammed Suffian berkata, aksi final adalah harapan utama bukan sahaja kelab, malah penyokong skuad Tok Gajah dan rakyat Pahang yang sudah lama menantikan kebangkitan sejak kali terakhir ke pentas final pada 2014.
“Oleh itu, SPFC dan barisan kejurulatihan dan pemain memohon doa dan sokongan daripada semua untuk memastikan kenikmatan berada di pentas akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
“Tiada yang mustahil kepada semua pemain untuk merealisasikan impian berkenaan jika berjaya menyekat Sabah,” kata Mohammed Suffian
Pada aksi separuh akhir, Sri Pahang akan terlebih dahulu bertandang ke Stadium Likas pada 18 Januari sebelum beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 2 Februari depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd