Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, kini dilantik sebagai duta sukan Johor dalam usaha memperkasakan pembangunan sukan dan belia di negeri itu.
TMJ turut senaraikan beberapa ikon sukan dunia termasuk Lee Chong Wei
Memetik laporan dari Stadium Sukan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menyatakan baginda turut menyenaraikan beberapa ikon sukan dunia seperti Sonny Bill Williams, Khabib Nurmagomedov dan Tim Cahill sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.
“Saya ingin menekankan bahawa program belia yang saya usahakan tidak hanya tertumpu kepada bola sepak tetapi membabitkan semua sukan, termasuk badminton, bola keranjang, tinju dan ragbi,”kata TMJ dalam sesi soal jawab bersama peminat JDT.
Artikel lain: Buriram United baca jampi sebelum mula perlawanan? TMJ usik -“Harap jadi saya punya pawang Diraja..”
Lee Chong Wei berperanan sebagai penasihat badminton Johor
TMJ turut menambah dalam sesi dialog yang disiarkan secara langsung di Facebook Johor Southern Tigers bahawa peranan yang bakal dimainkan oleh Lee Chong Wei adalah sebagai penasihat badminton Johor, sementara Sonny Bill Williams akan menjadi penasihat ragbi serta duta sukan Johor.
“Kami mempunyai ramai lagi ikon sukan seperti Tim Cahill dan Khabib (Nurmagomedov) yang akan membuka gimnasium di sini.
“Kesemua mereka adalah duta sukan dan ikon Johor dengan banyak program dirancang akan diperkenalkan untuk belia Johor,”jelasnya.
Pelantikan Lee Chong Wei sebagai penasihat badminton Johor ini turut mendapat sokongan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menekankan kepentingan memiliki lebih ramai ikon sukan untuk membantu pembangunan atlet muda.
Dapat dilihat bahawa sukan Johor kini semakin berkembang, bukan hanya dalam bola sepak tetapi juga dalam sukan lain seperti futsal, hoki ais, tinju serta penyertaan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) menerusi Hafizh Syahrin Abdullah.
Dengan kehadiran Lee Chong Wei dan beberapa ikon sukan bertaraf dunia, pembangunan sukan di Johor dijangka lebih pesat dan memberi manfaat besar kepada bakat muda tempatan.
Sumber: Stadium Sukan (Shaiful Shamsudin) Facebook Johor Southern Tiger