hafidzul@hmetro.com.ny
Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan kapal layar, Meridian of Sydney yang mengalami masalah kerosakan jentera utama di perairan barat laut Pulau Perak pada jam 1.15 tengahari, hari ini.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.
“Kapal berkenaan dipercayai berhanyut selama empat hari. Menyedari keperluan untuk bertindak pantas, TLDM segera menggerakkan Kapal Diraja (KD) Mahamiru untuk menjalankan pencarian bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
“KD Mahamiru tiba di lokasi pada jam 1.15 tengahari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar, menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran,” katanya.
Menurutnya, kapal layar berkenaan dikendalikan Kepten Kelvin Holly warganegara Australia yang sudah berada di laut sejak 8 Mac lalu.
“TLDM terus bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Kelvin sebelum melaksanakan operasi menunda kapal layar berkenaan ke perairan Langkawi.
“Ketika kenyataan ini dikeluarkan, KD Mahamiru sedang menunda kapal layar tersebut ke Jeti Langkawi, dan akan diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd