Titah Agong tumpu pembangunan negara, kesejahteraan rakyat

Titah Agong tumpu pembangunan negara, kesejahteraan rakyat

Kuala Lumpur: Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini dianggap amat bermakna, kerana merangkumi pelbagai aspek penting untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam Titah Diraja itu, Seri Paduka Baginda menekankan beberapa isu utama yang perlu mendapat perhatian serius daripada kerajaan dan semua pihak yang terlibat, termasuk kebajikan rakyat, pembangunan infrastruktur, digitalisasi, serta peranan institusi Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, titah Yang di-Pertuan Agong tersebut merangkumi pelbagai aspek dan harus dilaksanakan dengan sebaiknya untuk kepentingan rakyat.

“Bagi sesi kali ini, saya melihat titah Tuanku sangat relevan dan perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui selepas istiadat tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, pula menyambut baik titah Sultan Ibrahim yang menekankan penambahbaikan fasiliti kesihatan kerajaan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan projek pembinaan semula Klinik Kesihatan di seluruh negara sepanjang dua tahun yang lalu, dan beberapa klinik tersebut kini telah beroperasi semula.

“Fokus kita sekarang bukan sahaja untuk klinik di luar bandar, tetapi juga klinik-klinik yang sesak di kawasan bandar. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sedang menjalankan transformasi di dalam KKM,” katanya.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula berpendapat bahawa titah Seri Paduka Baginda amat peka dengan situasi semasa di negara ini, termasuk mempertahankan institusi Parlimen, peranan wakil rakyat, kebajikan rakyat, serta isu-isu berkaitan pertanian, perikanan, dan perladangan.

“Saya melihat mesej Tuanku benar-benar memberi peringatan kepada kami, ahli Dewan Rakyat, untuk memberi tumpuan penuh kepada usaha membela rakyat yang terkesan dengan pelbagai masalah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, menerusi hantaran di Facebook, berkata, Seri Paduka Baginda menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi, inovasi teknologi, dan kestabilan politik adalah asas utama untuk kemajuan negara.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memainkan peranan penting dalam agenda itu dengan terus memperkukuh industri berteknologi tinggi, mempercepatkan agenda Ekonomi MADANI serta memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) untuk menyelesaikan cabaran nasional dan global.

“Pelaburan dalam ekosistem inovasi, keselamatan siber serta pengukuhan infrastruktur digital menjadi keutamaan untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing.

“Melalui inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (HETR), Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) dan pengembangan sektor semikonduktor serta AI (kecerdasan buatan), kita akan terus membina ekosistem teknologi yang kukuh, mampan dan inklusif,” katanya.

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) dalam kenyataannya menyokong sepenuhnya titah Seri Paduka Baginda agar Ahli Parlimen mengelak daripada mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.

BBC menegaskan bahawa sebagai wakil rakyat, tanggungjawab utama adalah memastikan perbahasan di Parlimen kekal konstruktif, berasaskan data, serta tertumpu kepada kemajuan negara, bukan naratif politik yang memecahbelahkan.

“BBC memainkan peranan penting dalam memastikan semak dan imbang dalam kerajaan, bagi menjamin dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Ini termasuk menyuarakan kebimbangan, memberikan maklum balas, dan mengkritik dasar kerajaan secara membina apabila perlu.

“Namun, seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, tanggungjawab ini harus dilaksanakan dengan penuh tertib, berpandukan fakta serta kepentingan negara, bukan retorik politik semata-mata,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha membina budaya Parlimen yang lebih matang dan bertanggungjawab, BBC terus proaktif dalam memperkukuh kualiti perbincangan serta keterlibatan Ahli Parlimen menerusi inisiatif seperti Sarapan Bersama Menteri, Friends of Ministry dan taklimat Parlimen yang lebih tersusun.

Menurut BBC, inisiatif itu membolehkan Ahli Parlimen memahami dasar dengan lebih mendalam, memastikan perbahasan yang lebih bermakna serta berorientasikan penyelesaian.

“Platform ini juga membantu Ahli Parlimen menyampaikan maklumat dasar kepada rakyat dengan lebih jelas dan berkesan, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan unsur sensasi politik yang tidak wajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top