RAMADAN menjengah lagi dan menariknya pada bulan penuh keberkatan ini, umat Islam paling rajin melakukan ibadah sembahyang terutamanya solat sunat tarawih sehingga 20 rakaat.
Bagaimanapun persoalannya, apakah solat yang dilaksanakan setiap hari itu hanya sekadar ikut-ikutan orang lain? Apakah solat yang dilakukan itu penuh penghayatan sehingga kualitinya bertambah baik dari masa ke masa?
Begitulah persoalan yang dibangkitkan Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Selangor (UIS), Ustaz Mohd Rasyidi Ali sebelum menjelangnya bulan Ramadan.

USTAZ MOHD RASYIDI
Menurut beliau, ibadah solat sepatutnya boleh mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara keji dan mungkar berdasarkan ayat ke-45 surah al-Ankabut:
“Bacalah kitab (al-quran) yang telah diwahyukan kepada kamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar.”
Jelas beliau, sepatutnya ibadah solat yang dikerjakan umat Islam sepanjang tahun, ditambah pula dengan solat tarawih pada bulan Ramadan sudah tentu dapat mencegah mereka daripada kemungkaran, namun masih terdapat segelintir yang melakukan maksiat walaupun mereka tidak meninggalkan solat.
“Mengapakah hal ini berlaku? Ini kerana solat tersebut dilakukan tanpa kesedaran, kefahaman dan penghayatan.
“Apabila umat Islam sedar, faham dan menghayati makna solat itu, maka ibadah itu akan mencegahnya daripada melakukan perkara keji dan maksiat kepada ALLAH SWT,” hurainya.
Menurut ahli akademik itu lagi, empat rukun bacaan dalam solat itu sendiri mempunyai maksud yang sangat besar impaknya jika dihayati dengan sebenar-benarnya.
1 – Takbiratul ihram
Rukun bacaan pertama yang wajib diucapkan ketika solat ialah takbiratul ihram iaitu ALLAHUAKBAR yang bermaksud ALLAH MAHA BESAR.
Katanya, jika difahami, umat Islam pastinya akan sedar bahawa tiada perkara yang lebih besar ketika solat melainkan Tuhan yang menguasai sekalian alam itu.
“Makna takbiratul ihram itu sendiri membawa maksud takbir yang mengharamkan seseorang itu daripada melakukan perkara-perkara selain perbuatan dan ucapan untuk solat sahaja,” hurainya.
2 – Bacaan al-Fatihah
Jelas Ustaz Mohd Rasyidi, maksud ayat “Bacalah kitab (al-quran) yang telah diwahyukan kepada kamu dan laksanakanlah solat” ialah kita perlu fahami bacaan dalam solat dan apabila penghayatan bacaan dilakukan, solat itu secara automatik akan mencegah daripada perkara keji dan mungkar.
“Perkataan utlu sendiri berbeza dengan iqrak. Walaupun kedua-duanya bermaksud baca, namun utlu membawa makna membaca dengan kefahaman.
“Jadi, ketika memahami bacaan dalam solat, maka di situlah kita akan mula menghayati solat yang dilakukan,” ujarnya.
Jelas beliau, di dalam ketujuh-tujuh ayat surah al-Fatihah itu membawa makna yang amat besar dan disebut dalam hadis Qudsi, ALLAH SWT sebenarnya sedang berdialog dengan orang yang sedang solat itu melalui surah al-Fatihah.
“Oleh sebab itu orang yang faham makna ayat-ayat dalam surah al-Fatihah itu, mereka akan membacanya secara perlahan-lahan untuk menghayatinya.
“Ayat itu bermula dengan Bismillah, kemudian diterangkan sifat ALLAH, memuji-NYA dan seterusnya doa yang amat penting buat umat Islam iaitu memohon hidayah.
“Dalam hidup ini yang penuh dengan pelbagai pilihan, hidayah ALLAH amat diperlukan agar kehidupan ini dapat dipandu ke jalan yang benar,” hurainya panjang.

KUALITI solat dapat dipertingkatkan dengan memahami makna dalam bacaan solat. Foto CANVA
3 – Tahiyat akhir
Bacaan rukun ketiga dalam solat ialah bacaan tahiyat dan disertakan selawat di dalamnya, jelas beliau lagi.
“Jika ditelusuri penerangan dalam kitab-kitab tafsir al-Quran, bacaan tahiyat ini ada kaitannya dengan kisah Israk dan Mikraj ketika Baginda SAW menerima perintah dan kewajipan solat.
“Umat Islam yang faham makna di sebalik bacaan tahiyat ini pasti akan terkenang bakti dan jasa Nabi Muhammad SAW ini,” jelasnya.
4 – Salam
“Mengapa kita wajib melafazkan salam pada akhir solat? Ia membawa maksud kita telah kembali ke dunia selepas kita meninggalkan semua aspek keduniaan sebelum memulakan solat tadi.
“Ia bermaksud ketika solat, kita hanya mengingati ALLAH dan terus melupakan perkara lain kecuali apa yang berkaitan solat,” jelas Ustaz Mohd Rasyidi.
Persediaan sebelum solat pengaruhi kualiti solat
Dalam mempertingkatkan kualiti solat, selain menghayati bacaan di dalamnya, umat Islam juga perlu melakukan persiapan sebelum mendirikan sembahyang itu sendiri.

PENGHAYATAN dalam solat akan meningkatkan lagi kualitinya sekali gus mencegah daripada perkara keji dan mungkar. Foto CANVA
Ustaz Mohd Rasyidi menjelaskan, pelbagai aspek persediaan perlu dilihat sebelum bermulanya ibadah solat.
“Antaranya pakaian untuk solat mestilah menutup aurat, bersih dan wangi selain menunggu waktu solat sebelum azan dikumandangkan.
“Ketika azan berkumandang pula, jawab azan tersebut dan berdoalah seperti yang diajarkan, nanti akan mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak,” jelasnya.
Tambah beliau, ambillah wuduk dengan sempurna, kemudian masuk ke masjid serta menunaikan solat sunat.
“Sementara menunggu solat didirikan bersama imam, berzikirlah terlebih dahulu dan ini semua akan membuatkan penghayatan sembahyang lebih berkesan,” ujarnya.