Tingkat kualiti hidup

Tingkat kualiti hidup

hartini@hmnetro.com.my

YAYASAN Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) dengan kerjasama Persatuan Jantung Pediatrik Malaysia (MPCS) julung kalinya menganjurkan larian amal Heart Heroes Charity Run 2024.

Acara larian diadakan di Arena Universiti Malaya (UM) membabitkan 700 peserta mengumpul RM40,000 untuk membantu kanak-kanak menghadapi penyakit jantung kongenital (CHD).

CHD adalah kecacatan lahir paling lazim di seluruh dunia dan mempengaruhi satu daripada setiap 100 bayi. Di Malaysia sahaja, 5,000 bayi dilahirkan dengan CHD setiap tahun.

Walaupun punca sebenar tidak diketahui namun pembedahan yang berkesan boleh meningkatkan kualiti hidup secara drastik dengan hampir 3,000 individu memerlukan sekurang-kurangnya satu pembedahan jantung sepanjang hayat mereka.

Menurut CEO YJKM dan Pengerusi Bersama Heart Heroes Run, Eric Tan Chin Zhia, pihaknya sudah lama merancang larian amal dan gembira dapat merealisasikannya dengan sokongan semua rakan kerjasama.

“Kami harap dapat kumpul lebih banyak dana untuk pesakit CHD pada masa akan datang dan membuat perbezaan nyata dalam hidup mereka.

“Heart Heroes Charity Run 2024 membabitkan larian lima kilometer (km) dan 1.2km yang sesuai untuk peserta dari semua peringkat umur dan tahap kecergasan.

“Selain larian, acara ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk pemeriksaan gigi percuma dan aktiviti khas untuk kanak-kanak. Ini dapat membantu mewujudkan suasana meriah dan mesra keluarga,” katanya.

Pada masa sama, acara tahun ini banyak dibantu oleh pelbagai penaja. Dana yang dikumpul akan disalurkan kepada program Pembedahan Jantung Kongenital YJKM yang menyediakan pembiayaan penting bagi pembedahan pembetulan untuk kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan.

Selain itu, dana dilihat mampu meningkatkan perkhidmatan kardiologi pediatrik dan menawarkan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah yang terjejas oleh CHD di seluruh Malaysia.

Tidak ketinggalan, acara itu berjaya meningkatkan kesedaran awam berkenaan CHD dan mengukuhkan peranan YJKM sebagai penyokong utama pesakit CHD dan keluarga mereka.

YJKM berdedikasi untuk memperbaiki kehidupan mereka yang terjejas kerana CHD.

Inisiatif yayasan termasuk menaja pembedahan jantung untuk keluarga B40 dan menyediakan peralatan perubatan penting kepada pusat jantung tempatan.

Sehingga kini, YJKM melaburkan lebih daripada RM500,000 untuk menyokong pesakit CHD yang mencerminkan komitmen mendalam mereka terhadap tujuan penting itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd