HANYA kerana ingin dilihat cantik, bergaya dan mengikut trend membuatkan ada segelintir wanita termasuk Muslimah sanggup menindik lidah mereka.
Malah, ada yang berbuat demikian menggunakan tiket ‘taat permintaan suami’ kerana mahu menjadi isteri solehah.
Pendakwah terkemuka Ustazah Asma’ Harun pada Selasa membuat teguran tentang perbuatan menindik lidah lantaran gambar tular seorang wanita berbuat demikian dengan alasan patuh kepada permintaan suami.
![USTAZAH ASMA'](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/12/3004785.jpg)
USTAZAH ASMA’
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya, penceramah itu menegaskan, perbuatan menindik lidah tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia menyerupai golongan kafir dan fasik.
“Tindakan itu juga bukanlah adat di Malaysia, malah ia merupakan budaya orang kafir. Apatah lagi, dalam sebuah hadis riwayat Imam Abu Daud, ada dinyatakan secara jelas bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008 membincangkan hukum wanita berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam,” katanya sepertimana dipetik menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya.
Meskipun seorang isteri wajib taat kepada perintah suami, namun tegas Ustazah Asma’, dalam perihal yang membabitkan perkara-perkara dilarang oleh agama Islam seperti menindik lidah, tidak wajib bagi kaum Hawa untuk menurutinya.
“Benar, kedudukan suami tinggi di sisi isteri dan isteri sememangnya wajib untuk mentaati suaminya selagi mana apa yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan agama.
![HUKUM asal berhias adalah harus selagi mana ia tidak berlebihan dan tidak menampakkan perhiasannya kepada bukan mahram. -Foto: CANVA](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/12/3004787.jpg)
HUKUM asal berhias adalah harus selagi mana ia tidak berlebihan dan tidak menampakkan perhiasannya kepada bukan mahram. -Foto: CANVA
“Bagaimanapun, isteri tidak wajib patuh dengan permintaan suami yang menginginkan isterinya melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama Islam seperti menindik lidah ini,” tulisnya.
Mengulas tentang hukum berhias, ujar pendakwah itu, hukum asalnya adalah harus selagi mana ia tidak berlebihan dan tidak menampakkan perhiasannya kepada bukan mahram.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’araf: 31)
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW melarang kita untuk berlebihan menerusi sabda Baginda: “Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)