hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap seorang anggota polis terbabit insiden menyerang pemandu e-hailing OKU adalah kerana kegagalan anggota itu mengisytiharkan harta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan berkenaan tiada kaitan dengan kes serangan Mei lalu.
“Dalam kes serangan, kita masih teruskan siasatan dalaman untuk kes serangan yang sama (selain siasatan jenayah terhadapnya), ia akan jadi pendakwaan dua kali,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Razarudin, kegagalan mengisytiharkan aset oleh kakitangan menyalahi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) dan anggota itu telah diberi amaran.
Pendakwaan dua kali adalah pembelaan prosedural yang melarang mana-mana individu daripada didakwa di mahkamah dua kali untuk jenayah yang sama.
Bagaimanapun, Razarudin berkata, tindakan lebih tegas akan diambil jika anggota berkenaan disabit bersalah di mahkamah.
Berhubung siasatan jenayah, katanya, polis sudah menyerahkan kertas siasatan pada Jun lalu.
“Mereka serahkan semula kertas siasatan untuk polis tambah laporan kesihatan penuh dan kami hantar semula kertas siasatan lengkap kepada Pejabat Peguam Negara pada 27 Julai dan sedang menunggu langkah seterusnya,” katanya.
Pada Rabu lalu, pemandu OKU dan peguamnya mendedahkan video insiden selain membangkitkan kelambatan proses keadilan bagi kes itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd