Tindakan KPD bantu kawal lalu lintas ketika tidak bertugas perlu dijadikan contoh – Razarudin

Tindakan KPD bantu kawal lalu lintas ketika tidak bertugas perlu dijadikan contoh – Razarudin

PETALING JAYA: Tindakan Ketua Polis Daerah (KPD) Barat Daya, Pulau Pinang yang tular membantu mengawal lalu lintas yang sesak akibat pokok tumbang perlu menjadi contoh kepada anggota-anggota di lapangan yang lain untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

Menerusi rakaman berdurasi 57 saat yang tular di aplikasi Tiktok itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini.

Beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pegawai ini meletakkan tanggungjawab yang tinggi untuk pengguna jalan raya walau pun ketika itu beliau tidak bertugas.

“Usaha dan tanggungjawab ini yang perlu ada dalam memartabatkan citra PDRM.

“Sememangnya tugas dan tanggungjawab polis adalah berkhidmat kepada masyarakat dalam apa jua keadaan,” katanya di sini.

Terdahulu, rakaman Superintenden Kamarul Rizal Jenal membantu mengawal lalu lintas di lokasi pokok tumpang telah tular.

Beliau yang tidak bertugas dan sedang dalam perjalanan pulang makan malam bersama keluarga membantu pengguna jalan raya memudahkan perjalanan mereka. – UTUSAN

Scroll to Top