Seorang wanita meluahkan rasa kesal dan kecewa dan tampil membuat dakwaan impian anak lelakinya untuk bergelar perenang wakil Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Sea musnah akibat mengalami kecederaan dalaman di telinga selepas dipukul oleh guru di sekolah.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita yang dikenali sebagai Syahmina Mohd Azim mendakwa berlaku salah faham antara guru tersebut sehingga bertindak menampar pipi anaknya yang berusia 11 tahun itu sebanyak dua kali, serta menumbuk bahagian belakang.
Menerusi laporan polis yang dibuat oleh Syahmina, difahamkan anaknya tidak sengaja tersentuh belakang badan guru tersebut ketika hampir terjatuh.
“Anak kecil yang mewakili Kerian satu-satunya yang melepasi masa kebangsaan dan mempunyai ID malaysia dalam acara akuatik renang menggugurkan air mata kecewa setelah setengah tahun menjalani latihan yang sangat intensif, high impact dan telah berjaya melayakkan diri untuk capai masa yang jurulatih tetapkan.
“Kecundang dan terpaksa melupakan hasrat tersebut dengan sekelip mata sahaja kerana setiap kali berenang, hilang imbangan, hidung berdarah, kepala sakit, telinga berdengung,” dakwanya.
Sementara itu, Syahmina mendakwa kesan tamparan dan tumbukan guru itu telah menyebabkan anaknya muntah tidak berhenti serta mengalami sakit kepala dan hidung berdarah.
“Kesan tamparan dan tumbukan tersebut menjadikan gegaran di salur separuh bulat telinga (cochlear concussion) sama simptom macam gegaran otak. Boleh baik namun ambil masa yg agak lama, atau kemungkinan besar tidak baik sama sekali.
“Ya Allah, gugur jantung ni. Air mata mak ni aku tak mampu nak sekat lagi, menangis memikirkan masa depan anak aku sendiri. Sebagai perenang, itu adalah anggota badan yang sangat sensitif Silap hari bulan boleh blackout dalam air dan meninggal,” luahnya.