suliati@hmetro.com.my
JAWATANKUASA Kebajikan Masyarakat (Jakmas), Kolej Kediaman Lestari Sandakan (KKLS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama penduduk kampung dan pelajar Maahad Dar Al-Hijrah Sandakan, Sabah.
Program yang berlangsung di Masjid An-Nur Kampung Sentosa, Sandakan itu bertujuan memberikan pendedahan awal kepada peserta mengenai pelbagai peluang dalam bidang perusahaan.
Ia termasuk penanaman cendawan tiram kelabu, halia kampung secara fertigasi dan pembuatan vermikompos secara komersial.
Selain itu, penganjuran program itu memberi peluang badan kepimpinan Jakmas menimba ilmu serta pengalaman dalam melaksanakan aktiviti di luar kampus.
Ia juga membolehkan mereka berinteraksi baik dengan masyarakat khususnya di sekitar Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS Sandakan.
Pengetua KKLS yang juga pensyarah FPL, Borhan Abdul Haya @ Yahya berkata, program yang disertai 67 peserta itu adalah langkah penting dalam memajukan ekonomi komuniti setempat melalui bidang pertanian yang berpotensi tinggi.
Katanya, pelaksanaan program seperti ini membantu meningkatkan pengetah
uan dan kemahiran penduduk kampung dalam bidang perusahaan yang seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memupuk semangat keusahawanan dan mendorong penduduk memanfaatkan sumber daya tempatan secara lebih berkesan.
“Kolaborasi antara universiti dan komuniti seumpamanya ini juga mampu memberikan manfaat jangka panjang dalam pembangunan masyarakat,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi Biro Agama Umno Libaran, Amsain Jausin; Ketua Kampung Sungai Batang Shaffa Majid dan Guru Maahad Dar Al-Hijrah Sandakan, Tajudin Yosep Beda.
Borhan berkata, program itu turut membantu mengurangkan jurang antara ilmu akademik dan aplikasi praktikal di lapangan.
“Dengan kerjasama berterusan, kami dapat memastikan kesinambungan usaha ini demi kemajuan bersama,” katanya.
Pada program itu, tiga pensyarah UMS dijemput sebagai penceramah iaitu Dr Mohd Rakib Mohd Rahid, Dr Muhamad Askari dan Dr Mohamad Asrol Kalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd