Tiket hari kedua Konsert GenKru laku keras, 'sold out' dalam tempoh 45 minit

Tiket hari kedua Konsert GenKru laku keras, 'sold out' dalam tempoh 45 minit

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Selepas tiket hari pertama Konsert GenKru yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 3 Mei tahun depan habis dijual dalam tempoh kurang sejam, tiket untuk tambahan hari kedua pada 4 Mei turut habis dijual dalam tempoh 45 minit, hari ini. 

Berita gembira itu dikongsikan penganjur, Icon Entertainment dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dengan ucapan terima kasih kepada semua peminat KRU.

Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim ketika dihubungi berkata, dia bersama Datuk Yusry dan Edry terharu dengan sambutan luar biasa peminat-peminat mereka.

“Alhamdulillah, kami betul-betul sangat terharu dengan sambutan luar biasa peminat. Pada masa sama, kami juga mendengar keluhan daripada mereka yang masih lagi ramai tidak mendapatkan tiket.

“Insya-Allah, kami dalam perbincangan dengan penganjur, Iman Tang dari Icon Entertainment untuk melihat bagaimana kita nak cuba puaskan hati mereka yang masih tidak berjaya mendapat tiket konsert.

“Apapun, kami amat terharu dengan sokongan diberikan dan terima kasih kami kepada peminat-peminat yang sedia dengan KRU meskipun sekarang sudah masuk tahun ke-33 kami dalam industri muzik,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam kenyataan Icon Entertainment, mereka turut terharu dengan sambutan daripada peminat KRU selepas tiket hari pertama habis dijual dalam masa sejam, tiga hari lalu.

“Ini semua adalah tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat ikon trio negara kita, KRU. Saya mewakili Icon Entertainment dan KRU berasa sangat terharu dan ‘speechless’,

“Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua GenKru yang sudah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua akan mendapatkan kepuasan maksima pada dua-dua hari konsert berkenaan,” kata Iman. 

Penjualan tiket konsert hari kedua itu dilakukan Icon Entertainment di atas permintaan ramai dengan sesi jualan dibuat bermula jam 3 petang, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top