Tiket Dijual Harga Berpatutan, Akim & The Majistret, Masdo, Insomniacks & Empty Page Bakal Hangatkan Konsert Destiny of Music 2.0

Tiket Dijual Harga Berpatutan, Akim & The Majistret, Masdo, Insomniacks & Empty Page Bakal Hangatkan Konsert Destiny of Music 2.0

Konsert Destiny of Music 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 15 November 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bakal dimeriahkan oleh kumpulan muzik popular tanah air seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Insomniacks dan Empty Page.

Konsert edisi kedua ini dianjurkan susulan kejayaan dan sambutan luar biasa terhadap Konsert Destiny of Music yang diadakan buat pertama kalinya pada bulan Jun lalu dan B De Paris Project sekali lagi bertindak selaku penganjur utama konsert ini, dengan Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment bertindak sebagai penganjur bersama.

Kembali dengan lebih bertenaga dan menjanjikan persembahan memukau, Konsert Destiny of Music 2.0 akan menyaksikan empat band popular ini menghiburkan penonton dengan lagu-lagu hits mereka selama dua jam tanpa henti.

Ketua Pegawai Eksekutif B De Paris Project, Burhan Ahmad yang juga merupakan penganjur konsert ini berkata, mereka rasa berbesar hati untuk kembali menganjurkan edisi kedua acara tersebut.

“Kejayaan serta penerimaan positif yang kami terima semasa penganjuran edisi pertama baru-baru ini telah memberi dorongan untuk terus menganjurkan lebih banyak konsert sebegini.

“Selain daripada memperkukuhkan kedudukan B De Paris Project dalam industri hiburan tempatan, penganjuran ini turut berperanan dalam memartabatkan dan memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan melalui platform yang disediakan, serta membuka lebih banyak peluang kerjasama di masa hadapan.

“Kami juga gembira apabila barisan artis seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Insomniacks dan Empty Page sudi untuk bekerjasama menjayakan konsert ini,” katanya.

Tambah Burhan, Konsert Destiny of Music 2.0 merupakan kesinambungan daripada konsert yang diadakan sebelum ini dan mereka selaku penganjur telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan agar konsert kali ini jauh lebih baik daripada yang pernah dianjurkan. 

“Kami berharap konsert ini akan berlangsung dengan penuh gemilang seperti yang dirancang, sekaligus memberikan impak yang mendalam.

“Jadi, jangan tunggu lagi kerana kami menawarkan harga tiket yang berpatutan, sesuai untuk semua golongan peminat, termasuk pelajar, pihak korporat dan lain-lain.

“Dapatkan tiket segera dan datang beramai-ramai bersama sahabat serta keluarga, kerana kami menjanjikan pengalaman menonton yang maksimum kepada para peminat,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Destiny of Music 2.0 akan mula dijual dengan harga yang berpatutan serendah RM55 (Silver), RM85 (Gold), RM135 (Diamond), RM155 (Platinum) dan RM285 (VIP) di laman web https://www.ticket2u.com.my/ 

Scroll to Top