Tiket bas ke negeri Pantai Timur paling laris

Tiket bas ke negeri Pantai Timur paling laris

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiket perjalanan bagi perkhidmatan bas ekspres ke destinasi utama seluruh tanah air untuk tempoh tiga hari terakhir sebelum Hari Raya Aidilfitri sudah 59 peratus habis terjual di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati, tiket perjalanan ke negeri Pantai Timur paling laris, manakala tiket perjalanan ke negeri Utara dan Selatan masih berbaki.

Sebagai contoh, berdasarkan aplikasi mobil TBS bagi tarikh 29 Mac, sebanyak 45 perjalanan bas ke Kota Bahru, Kelantan ‘sold out‘ (habis dijual), manakala Kuala Terengganu (37) dan Kuantan (50).

Bagi negeri Utara, kesemua 41 perjalanan bas ke Kangar, Perlis habis terjual, manakala Alor Setar (72), Butterworth (75) dan Ipoh (46).

Berbeza bagi negeri di Selatan tanah air di mana terdapat masih banyak tiket belum terjual, contohnya bagi bas ke Larkin, Johor masih ada 196 perjalanan, manakala Melaka Sentral pula berbaki sebanyak 77 perjalanan.

Peniaga, Mohammad Azrul Musa, 38 dari Tampoi, Johor berkata, beliau masih belum membeli tiket pulang ke kampung kerana yakin ia masih mudah dibeli meskipun pada saat-saat akhir nanti.

“Masih mudah dapatkan tiket kerana banyak pilihan bas ke arah Johor dan masih banyak kerusi yang kosong lagi.

“Berdasarkan pengalaman saya semasa perayaan sebelum ini, saya masih boleh beli tiket pada hari sama pulang ke kampung,” kata bapa lima anak itu ketika ditemui di sini, hari ini.

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Arif Affenday, 22, dari Jerantut, Pahang berkata, dia sudah membeli tiket pulang ke kampung sebulan lebih awal kerana berasa risau kehabisan tiket.

“Destinasi ke Pantai Timur seakan ‘kerusi panas’ yang memang akan habis terjual menjelang perayaan dan tiket akan habis awal dalam sebulan awal kerana memang ramai penumpang.

“Jadi, saya perlu rancang perjalanan dan beli awal supaya boleh pulang beraya dengan keluarga,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Muhammad Hazlan Nor Azman, 23, dari Tangkak, Johor berkata, dia juga akan membeli tiket seminggu lebih awal dari tarikh perjalanan.

“Beberapa tahun lepas, saya pernah beli lewat hingga tiada tiket bas ke Tangkak.

“Oleh sebab tiada pilihan lain, saya terpaksa naik bas yang turun di Melaka Sentral dan kemudian saya perlu cari pengangkutan lain.

“Sekarang saya pilih beli tiket pulang lebih awal di aplikasi atas talian supaya boleh beraya dengan tenang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd