Tiga tahap dalam ria realistik

Tiga tahap dalam ria realistik

kartika@mediaprima.com.my

LANGKAH memperkenalkan tiga tahap dalam Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) dilihat realistik bagi memastikan keselamatan kewangan ketika persaraan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Asia School of Business, Joseph Cherian berkata, tahap pendapatan sasaran bergantung kepada perancangan kewangan yang rapi, disiplin menyimpan dan pengurusan sumber kewangan secara strategik sepanjang tempoh bekerja.

Katanya, bayaran pencen dalam rangka kerja ini seharusnya diindekskan kepada inflasi atau kos sara hidup bagi memastikan keselamatan kewangan ketika persaraan.

“Namun, usaha ini sahaja tidak mencukupi tanpa adanya perlindungan risiko jangka panjang seperti anuiti hayat menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sekiranya individu hidup lebih lama daripada tempoh persaraan yang dirancang, simpanan mereka berisiko habis.

“Oleh itu, rangka kerja RIA perlu memberi jaminan pendapatan sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan skim keselamatan sosial berasaskan keperluan untuk membantu individu yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, berdasarkan laporan KWSP pada Oktober 2024 menunjukkan hanya 36 peratus ahli aktif mencapai tahap simpanan asas RM240,000 pada usia 55 tahun dan ia satu statistik yang membimbangkan.

Joseph menyifatkan situasi ini sebagai tanda awal krisis persaraan, khususnya bagi mereka yang tidak memiliki tempoh simpanan mencukupi.

“Antara langkah penyelesaian yang boleh diambil adalah dengan melanjutkan tempoh bekerja, meningkatkan simpanan atau mengurangkan perbelanjaan pada masa hadapan.

“Selain itu, kita boleh menggunakan aset seperti rumah melalui skim gadai janji terbalik (reverse mortgage) dan walaupun isu ini rumit, ia boleh diatasi melalui strategi berasaskan data, dasar kukuh dan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun langkah menyeluruh diperlukan untuk memastikan persaraan yang terjamin oleh pekerja di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top