Tiga suspek kes pecah rumah langgar motosikal polis sebelum larikan diri

Tiga suspek kes pecah rumah langgar motosikal polis sebelum larikan diri

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Telok Panglima Garang, Kuala Langat bertindak melanggar motosikal anggota polis sebelum melarikan diri ketika cuba ditahan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, susulan tindakan melulu suspek dipercayai warga tempatan itu, anggota di lokasi melepaskan satu das tembakan pada tayar kereta jenis Proton X50 yang dinaiki kesemua suspek.

Katanya, terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung sebuah rumah di kawasan Telok Panglima Garang dipecah masuk sekumpulan lelaki, jam 2.40 petang dan anggota bit balai serta kereta peronda polis (MPV) diarah ke lokasi kejadian.

“Apabila anggota yang menunggang motosikal tiba di lokasi, suspek bertindak melanggar motosikal berkenaan.

“Susulan itu, anggota terbabit melepaskan satu das tembakan pada tayar kereta namun suspek berjaya melarikan diri.

“Kereta dengan nombor pendaftaran palsu itu dipercayai dinaiki tiga suspek lelaki warga tempatan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan tiga lelaki berkenaan dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sabit kesalahan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Fadzi Mohamad Saidi di talian 013-9311208 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua lelaki memecah masuk sebuah rumah dan jenayah tersebut disedari jiran mangsa.

Terdapat juga rakaman menunjukkan sebuah kereta Proton X50 berwarna biru dipercayai digunakan suspek dalam kejadian pecah rumah berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top