Tiga suspek curi kabel guna lori tumpas

Tiga suspek curi kabel guna lori tumpas

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penghantar sebuah syarikat e-dagang memecut laju lori yang dipandunya selepas ditahan polis berhampiran Jalan Persiaran Masjid Seksyen 14, Shah Alam pada Rabu lalu membawa kepada pembongkaran kegiatan mencuri kabel.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku 4.40 pagi ketika unit peronda polis terlibat dalam tugas rondaan di sekitar lokasi tersebut.

Katanya, anggota polis bertugas telah terserempak dengan sebuah lori kurier dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Namun suspek yang enggan bekerjasama bertindak memecut laju lori berkenaan tanpa menghirau arahan pasukan peronda itu.

“Bagaimanapun lori dinaiki suspek bersama dua rakannya itu berjaya dipintas kenderaan polis dan ditahan kira-kira lima kilometer dari lokasi asal kejadian untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan polis, kata Mohd Iqbal, polis berjaya menahan tiga suspek lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun termasuk pemandu lori itu.

“Pemeriksaan dijalankan di dalam lori berkenaan berjaya menemui 13 potong kabel bersaiz dua inci dengan panjang antara lapan lapan hingga 12 kaki yang telah dipotong di dalam bahagian belakang lori terbabit.

“Siasatan lanjut polis ke atas ketiga-tiga suspek itu juga mendapati kabel berkenaan dicuri di kawasan sekitar tepi jalan Seksyen 3, Shah Alam,” ujarnya.

Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

“Malah saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek disahkan positif dadah jenis Methamphatamine (syabu). Ketiga-tiga suspek kemudiannya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Mohd Iqbal juga memaklumkan tangkapan tiga suspek itu membantu polis menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel yang berlaku di Shah Alam.

Siasatan sedang dijalankan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Siti Fairuz Abdullah di talian 014-6494430. – MalaysiaGazette