Tiga sekolah terima sumbangan MBI Selangor

Tiga sekolah terima sumbangan MBI Selangor

SHAH ALAM – Sebanyak tiga buah sekolah menerima sumbangan RM50,000 daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor menerusi Program Konvoi Merdeka Perpaduan Bangunan Darul Ehsan yang berlangsung hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Norita Mohd Sidek berkata, sumbangan berkenaan disalurkan untuk kegunaan infrastruktur, baik pulih sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kami merasakan sektor pendidikan adalah sektor yang penting pelaburan MBI dalam pendidikan penting kerana ia dapat membangunkan bangsa dan negara.

“Jadi sebab itu konvoi ini kami selitkan juga ke sekolah-sekolah memberi sumbangan,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek

Sekolah sekitar Shah Alam yang bernasib baik menerima sumbangan hari ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Anggerik (RM10,000), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salahuddin Abdul Aziz Shah (RM30,000) dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (RM10,000).

Mengulas lanjut, Norita berkata, Konvoi Merdeka Perpaduan merupakan usaha MBI Selangor untuk menyemarakkan lagi Hari Kebangsaan dengan penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat setempat.

Katanya lagi lagi, uniknya konvoi kali ini dalam masa yang sama diadakan bersempena ulang tahun MBI Selangor yang Ke-29.

“Setiap tahun kita adakan tapi tahun ini paling besar sebab kita libatkan penyewa-penyewa dalam bangunan ini.

“Kita ada 24 tingkat semuanya dalam bangunan ini kebanyakannya pejabat-pejabat kerajaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perangkaan dan banyak lagi,” katanya lagi.

Menurut beliau, konvoi yang disertai penyewa Bangunan Darul Ehsan  akan bergerak ke tiga buah sekolah untuk mengagihkan sumbangan daripada MBI.

Turut hadir pada konvoi berkenaan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Selangor, Normaizatulakmal Tujad.

Sementara itu, Norita berharap agar program konvoi merdeka tersebut akan dapat diteruskan setiap tahun dan menjadi salah satu program rutin MBI Selangor. – MalaysiaGazette

Scroll to Top