Tiga pasukan World Tour hangatkan LTdL

Tiga pasukan World Tour  hangatkan LTdL

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perlumbaan berbasikal lebuh raya berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini dijangka lebih mencabar apabila menampilkan tiga pasukan berstatus World Tour (WT), Astana Qazaqstan, EF Education-Easypost dan DSM-Firmenich PostNL.

Astana dan EF Education pasukan yang beraksi tahun lalu, manakala DSM-Firmenich kembali beraksi semula di perlumbaan ProSeries ini selepas kali terakhir pada 2011 di mana ketika itu dikenali sebagai Skill Shimano.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, berkata kehadiran ketiga-tiga pasukan itu melengkapkan senarai 22 pasukan bakal bertanding pada edisi ke-28 perlumbaan berkenaan.

Katanya, kejayaan memikat tiga pasukan yang menempa nama di Tour de France (TdF) tahun ini adalah pencapaian membanggakan buat MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur selepas hanya dua penyertaan pasukan berstatus WT pada edisi tahun lalu.

“Pelumba DSM Firmenich PostNL, Romain Bardet dan Frank van den Broek, memenangi dua tempat teratas pada peringkat pertama TdF tahun ini.

“Pelumba EF Education Easypost, Richard Carapaz pula berjaya menguasai jersi kuning pendahulu keseluruhan selepas peringkat ketiga, memenangi Peringkat ke-17 dan merangkul kategori Raja Bukit Tour de France manakala pelumba berpengalaman Astana Qazaqstan, Mark Cavendish muncul pemenang perlumbaan peringkat kelima,” katanya ketika sidang media pengumuman pasukan bertanding di sini, hari ini.

Abdul Rahsid, berkata selain tiga pasukan ‘World Team’, tujuh pasukan daripada kategori ‘Pro Team’ dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) turut mengesahkan penyertaan sekaligus membolehkan LTdL 2024 memenuhi syarat penganjuran perlumbaan berstatus Pro Series di luar Eropah.

Katanya, lima pasukan Pro Team itu – Polti Kometa (Sepanyol), Tudor Pro Cycling (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF- Faizane (Itali), Equipo Kern Pharma (Sepanyol) dan Euskaltel-Euskadi (Sepanyol) – kini berstatus ‘Grand Tour Pro Team’ dan dijemput bertanding dalam beberapa perlumbaan utama dunia seperti Giro de Italia dan VueltaEspana 2024.

“Tiga pasukan Malaysia juga akan bertanding pada LTdL 2024 iaitu Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan keseluruhan 12 pelumba negara beroleh peluang bersaing kayuhan dengan pelumba-pelumba handalan dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL Emir Abdul Jalil mengumumkan pendakian Bukit Fraser yang sepatutnya menggantikan pendakian Genting Highlands tidak dapat diadakan berikutan arahan yang dikeluarkan UCI.

“UCI mengarahkan tidak ada laluan menuruni bukit yang curam berikutan kemalangan baru-baru ini membabitkan kematian pelumba Coop Repsol di Tour Austria. Jadi kita hanya bermula dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada peringkat keempat.

“Mereka (UCI) menasihatkan kita agar cuba mengelakkan benda ini (menuruni bukit curam) berikutan kemalangan yang bukan sahaja berlaku di Austria tapi juga di Perancis membabitkan pelumba secara beramai-ramain,” katanya.

Pelumba kelahiran Norway berusia 25 tahun Andre Drege meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan menuruni bukit dalam kelajuan tinggi sehingga memaksa perlumbaan peringkat akhir Tour Austria terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kayuhan yang didedikasikan kepadanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top