Tiga menyamar penjawat awam samun warga asing diberkas

Tiga menyamar penjawat awam samun warga asing diberkas

KUALA LUMPUR – Tiga suspek lelaki yang disyaki menyamar sebagai penjawat awam dan menyamun tiga warga asing dalam kejadian di Pulau Ketam Klang pada 8 Februari lalu berjaya ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pengadu mendakwa dia dan dua rakannya telah di ketika berjalan di kawasan Pulau Ketam lebih kurang jam 2.30 petang pada hari kejadian.

Salah seorang suspek telah mengacukan sebilah pisau dan menampar rakan pengadu di bahagian pipi.

Malah, seorang lagi suspek bertindak membuat pemeriksaan badan dan mengambil telefon bimbit, salinan pasport dan wang tunai milik pengadu dan dua rakannya.

Mereka kemudian menaiki bot menuju ke jeti pelabuhan Klang.

Bertindak atas maklumat dan laporan polis, lebih kurang 4 petang, sepasukan polis dari Balai Polis Pelabuhan Klang telah berjaya menangkap suspek tersebut di Jeti Pelabuhan Klang dan merampas barang milik semua mangsa.

Semakan ke atas semua suspek yang berusia antara 29 hingga 33 tahun itu mendapati mereka mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan salah seorang memiliki dua rekod dikehendaki bagi kes mendatangkan kecederaan dengan senjata dan kes samun di kawasan Cheras.

Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamun berkawan dengan senjata, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan juga denda dan sebat.

Kesemua suspek direman sehari di Mahkamah Majistret Klang. – MalaysiaGazette